Momentum JDT terbantut, diikat PJ City

Momentum JDT terbantut, diikat PJ City

KUALA LUMPUR,. Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan momentum kemenangan Piala FA Sabtu lepas tidak kesampaian, selepas terikat 2-2 dengan Petaling Jaya City FC (PJ City) pada aksi Liga Super malam ini.

Bermain di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), JDT yang dilihat masih dibuai dengan kejayaan dilakar tempoh hari, tampak lebih mendominasi perlawanan menerusi jaringan penyerang import Brazil, Bergson da Silva pada minit ke-48.

Tersentak dengan jaringan pendahuluan itu, PJ City kemudian mengatur langkah bagi menyamakan kedudukan sebelum satu cubaan berjaya diterjemahkan kepada gol menerusi Darren Lok pada minit ke-73.

Anak buah Hector Bidoglio bagaimanapun bingkas bangkit kembali menjarakkan kedudukan buat JDT menerusi hantaran lintang ke dalam kawasan kotak penalti yang kemudiannya dirembat masuk Akhyar Rashid pada minit ke-86.

Pemain PJ City, R. Kogileswaran namun bertindak selaku ‘duri dalam daging’ dalam perlawanan, selepas jaringan dalam masa kecederaan yang dilakukannya, meranapkan hasrat JDT mengutip tiga mata penuh.

Sementara itu dalam satu lagi aksi Liga Super, Melaka United turut hampa sekadar berkongsi satu mata menentang Kuala Lumpur City FC, dalam keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This