Moody’s beri penarafan A3 kali pertama kepada Sarawak Energy

Moody’s beri penarafan A3 kali pertama kepada Sarawak Energy

KUALA LUMPUR,. Moody’s Investors Service telah menetapkan penarafan A3 kali pertama kepada Sarawak Energy Bhd (SEB) dengan prospek stabil.
Pada masa yang sama, Moody’s telah mengesahkan Penilaian Kredit Garis Asas (BCA) baa2 kepada SEB.

Moody’s berkata tinjauan stabil pada penarafan itu mencerminkan jangkaan Moody’s bahawa kepentingan strategik SEB kepada Sarawak dan kemungkinan besar sokongan daripada kerajaan, jika dan apabila diperlukan akan kekal kukuh dalam tempoh antara 12 hingga 18 bulan akan datang.

“Tinjauan yang stabil juga mencerminkan pandangan Moody bahawa SEB akan mengekalkan profil kredit kendiri sejajar dengan BCA syarikat tersebut. Peningkatan penarafan SEB boleh dilakukan jika penarafan Sarawak dinaik taraf dan SEB mengekalkan BCA pada baa2,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Moody’s berkata penarafan penerbit A3 ke atas SEB menggabungkan BCA baa2 dan peningkatan dua tahap berdasarkan kemungkinan menerima sokongan yang tinggi dan tahap pergantungan yang tinggi dengan negeri Sarawak (stabil A3) di bawah pendekatan analisis bersama Moody untuk penerbit berkaitan kerajaan.

“BCA SEB itu disokong oleh kedudukan monopolinya sebagai utiliti elektrik bersepadu Sarawak dengan asas hasil yang semakin meningkat disokong oleh perjanjian pembelian kuasa ambil atau bayar jangka panjang (PPA), tarif yang kompetitif dan kos operasi rendah serta pembangunan kuasa hidro,” ia berkata.

Moody’s berkata metrik kewangan SEB berada pada tahap sederhana dan syarikat itu terdedah kepada risiko penumpuan pelanggan serta perbelanjaan modal dan risiko pelaksanaan untuk menampung permintaan yang semakin meningkat.

“Jangkaan Moody terhadap kemungkinan ia mendapat sokongan kerajaan yang sangat tinggi mencerminkan pemilikan dan operasi SEB terhadap infrastruktur elektrik penting.

“Syarikat itu memainkan peranan penting dalam membolehkan kepelbagaian ekonomi Sarawak yang akan mengurangkan pergantungan negeri kepada hidrokarbon dan komoditi lain.

“Andaian terhadap sokongan ini turut menjadi faktor dalam pemilikan penuh kerajaan dan kemungkinan sokongan kewangan untuk SEB seperti yang ditunjukkan oleh rekod prestasinya,” katanya.

Selain itu, Moody’s menjangkakan profil kewangan SEB akan meningkat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ditubuhkan pada tahun 1921, SEB ialah monopoli utiliti elektrik bersepadu di Sarawak dengan mendapat penarafan (A3 stabil) di Malaysia.

Sehingga 31 Disember, 2021, SEB adalah 100 peratus secara langsung dan tidak langsung dimiliki oleh Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak (SFS).

Ia mempunyai tiga segmen perniagaan teras – operasi rangkaian penghantaran dan pengedaran elektrik monopoli, runcit dan penjanaan kuasa serta sumber yang membekalkan arang batu kepada loji arang batu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This