Morbidelli terus buru gelaran juara dunia MotoGP

KUALA LUMPUR,. Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Franco Morbidelli kembali berharap untuk merebut gelaran juara dunia Moto Grand Prix (MotoGP) selepas meraih kemenangan keduanya musim ini pada GP Teruel di Litar Aragon, Sepanyol hari ini.

Pelumba Itali berusia 25 tahun itu yang bermula di barisan hadapan petak mula, menguasai perlumbaan selepas pelumba Jepun Takaaki Nakagami daripada LCR Honda Idemitsu terlibat dalam kemalangan pada pusingan pembukaan, sebelum Morbidelli berjaya meraih kemenangan kedua selepas GP San Marino pada September, dengan catatan masa 41 minit 47.652 saat.

Pelumba Team Suzuki Ecstar – Alex Rins dan Joan Mir dari Sepanyol, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga selepas merekodkan masa 2.205 saat dan 5.376 saat.

Rakan sepasukan Morbidelli, Fabio Quartararo berada di tempat kelapan dengan masa 42:20.372 saat dalam perlumbaan 23 pusingan itu.

“Saya rasa hebat di luar sana, perasaan dengan motosikal juga sangat mengagumkan. Kami mengambil risiko sedikit dengan pilihan tayar kerana kami tahu kami harus lakukan sesuatu (selepas keputusan buruk pada GP Aragon minggu lepas),” kata Morbidelli selepas perlumbaan.

Kemenangan hari ini membolehkan Morbidelli melonjak dua anak tangga ke tempat keempat dalam kedudukan Kejohanan Dunia MotoGP dengan 112 mata. Mir dan Quartararo mengekalkan kedudukan mereka di dua tempat teratas dengan 137 dan 123 mata, diikuti pelumba Monster Energy Yamaha, Maverick Vinales dari Sepanyol di tempat ketiga (118 mata).

Dalam kategori Moto2, pelumba Petronas Sprinta Racing – Jake Dixon dari Great Britain dan Xavi Vierge dari Sepanyol, berada di tempat ketujuh dan ke-12 selepas masing-masing mencatatkan masa 39:44.500 saat dan 39:53.851 saat.

Pelumba British Sam Lowes daripada EG 0.0 Marc VDS, meraih kemenangan ketiga berturut-turut musim ini selepas merekodkan 39:27.645 saat, diikuti dua pelumba Itali – Fabio Di Giannantonio daripada Lightech Speed Up dan Enea Bastianini daripada Italtrans Racing Team yang berada di belakang dengan masa 8.425 saat dan 10.871 saat dalam perlumbaan 21 pusingan itu.

Pelumba Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah daripada Aspar Team Moto2 meraih tempat ke-13 daripada 23 pelumba dengan masa 39:53.962 saat manakala seorang lagi pelumba negara Kasma Daniel Kasmayudin daripada OneXoX TKKR SAG Team, gagal menamatkan perlumbaan selepas terlibat dalam kemalangan di pusingan permulaan dengan dua pelumba – Tetsuta Nagashima daripada Red Bull KTM Ajo dan pelumba Switzerland Thomas Luthi daripada Liqui Moly Intact GP.

Sementara itu, pelumba Petronas Sprinta Racing Moto3 – John McPhee dari Scotland dan pelumba Malaysia Khairul Idham Pawi masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat keenam dan ke-27 dengan catatan masa 37:44.974 saat dan 38:17.401 saat.

Pelumba Sepanyol, Jaume Masia daripada Leopard Racing memperoleh kemenangan berturut-turut di litar sama selepas GP Aragon minggu lepas, dengan rekod masa 37:44.602 saat. Dua pelumba Jepun – Ayumu Sasaki daripada Red Bull KTM Tech 3 dan Kaito Toba daripada Red Bull KTM Ajo pula berada di tempat kedua dan ketiga selepas masing-masing ketinggalan 0.051 saat dan 0.152 saat.

Kejohanan Dunia MotoGP akan disambung semula dengan perlumbaan GP Eropah (6 hingga 8 Nov) dan GP Valencia (13 hingga 15 Nov) di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )