MOSTI mahu pendekatan lebih kreatif digunakan dalam pembelajaran STEM

MOSTI mahu pendekatan lebih kreatif digunakan dalam pembelajaran STEM

KUALA LUMPUR,. Pendekatan yang lebih kreatif dan inovatif amat digalakkan dalam pembelajaran subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata usaha berkenaan penting bagi memastikan Malaysia melahirkan lebih ramai pereka cipta serta inovator tempatan berkualiti pada masa akan datang yang mampu memacu ekonomi negara berasaskan inovasi.

“Negara-negara maju mengamalkan pendekatan pembelajaran melalui pembelajaran berasaskan pengalaman dan pembelajaran amali bermula dari peringkat awal pendidikan.

“Pembelajaran STEM perlulah mengaplikasikan konteks dunia sebenar dan menggunakan pendekatan penerokaan terbuka,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, antara bidang fokus yang dilihat mampu menjadi pengubah keadaan (game changer) kepada negara ialah cetakan 4 Dimensi (4D) atau 5D, teknologi biosains serta blok rantaian seperti yang dinyatakan di dalam Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (10-10 MySTIE).

Katanya, penguasaan bidang secara fokus dan spesifik boleh dijadikan sebagai pemangkin dalam perkembangan teknologi seperti Internet Kebendaan (IoT), data raya, realiti maya dan realiti terimbuh yang amat diperlukan dalam dunia pekerjaan masa hadapan selari dengan ledakan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

“Data daripada Pusat STEM Negara menunjukkan bahawa pada 2022, bilangan pelajar dalam bidang STEM kini berada pada kadar 47 peratus, manakala hanya 19 peratus yang mengambil jurusan sains tulen.

“Adalah penting untuk melibatkan kerjasama pelbagai pihak. Sebagai contoh, pihak sekolah boleh memupuk jalinan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat-syarikat swasta bagi menarik minat para pelajar terhadap STEM,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This