
MOSTI ucap tahniah kepada Dr Chan kerana rangkul Hadiah Sains ASEAN-AS untuk Wanita
KUALA LUMPUR,. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengucapkan tahniah kepada Dr Chan Yoke Fun kerana memenangi Hadiah Sains ASEAN-Amerika Syarikat untuk Wanita 2020 baru-baru ini.
MOSTI dalam satu kenyataan hari ini, menzahirkan harapan agar anugerah berprestij tersebut dapat memberi motivasi kepada Dr Chan dan pasukannya untuk meningkatkan pencapaian baharu dalam kajian saintifik mereka.
Kementerian juga berharap anugerah itu dapat memacu minat dalam kalangan institusi penyelidikan dan penyelidik negara terutama saintis wanita untuk menyumbang penyelidikan yang lebih berkualiti dalam bidang sains dan teknologi.
Di atas pencapaiannya, Ketua Jabatan Mikrobiologi Perubatan di Fakulti Perubatan Universiti Malaya itu menerima hadiah wang tunai sebanyak US$20,000 (kira-kira RM83,000).
Dr Chan menumpukan penyelidikannya untuk membangunkan vaksin melawan virus yang menyebabkan penyakit tangan, kaki dan mulut dan jangkitan otak pada kanak-kanak.
“Selain itu, beliau juga bekerjasama dengan pakar tempatan untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penyakit itu serta pencegahan dalam kalangan masyarakat,” menurut kenyataan itu.
Hadiah Sains ASEAN-Amerika Syarikat untuk Wanita yang diperkenalkan pada 2014 bertujuan untuk mengukuhkan keupayaan sains dan teknologi ASEAN serta kesamaan gender dan penambahbaikan.
Hadiah berkenaan diberikan kepada dua saintis wanita harapan dan berbakat dari rantau ASEAN dalam bidang sains gunaan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik dan profesional mereka.
— BERNAMA