MOT, CAAM terima surat rasmi penarafan keselamatan udara Malaysia kategori 1

MOT, CAAM terima surat rasmi penarafan keselamatan udara Malaysia kategori 1

KUALA LUMPUR,. Kementerian Pengangkutan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah menerima surat rasmi daripada Kedutaan Amerika Syarikat berhubung penarafan Penilaian Keselamatan Penerbangan Antarabangsa (IASA) Kategori 1, semalam.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (gambar) dalam catatan di Facebook hari ini berkata surat rasmi itu, diserahkan oleh kaunselor ekonomi Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia Dave Williams dan pegawai ekonominya Isaac Jenkins di Putrajaya.

“Ini merupakan peristiwa yang amat bermakna kepada Malaysia dan juga industri penerbangan negara. Terima kasih diucapkan kepada pihak Kedutaan AS yang menyerahkan surat rasmi ini.

“Penarafan semula ini dibuat selepas CAAM berjaya memperbetulkan kesemua yang diperlukan, mengikut piawaian Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat,” katanya.

Pada 1 Okt lepas, Wee dalam sidang media secara dalam talian berkata penarafan keselamatan udara Malaysia yang sebelum ini diturunkan oleh FAA Amerika Syarikat, telah dikembalikan kepada Kategori 1 selepas kesemua 33 isu berbangkit dapat diselesaikan.

Wee dalam catatan itu turut memaklumkan, Williams menyatakan kekaguman Kedutaan AS di atas kesungguhan dan kecekalan yang ditunjukkan oleh CAAM, dalam menyelesaikan semua dapatan yang menyebabkan Malaysia diturunkan taraf ke Kategori 2 pada November 2019.

“Kami berkongsi pandangan sama bahawa penarafan ke Kategori 1 ini tepat pada masanya, seiring pemulihan sektor penerbangan dan semakin ramai yang ingin melancong,” katanya.

Beliau berkata pengembalian semula Kategori 1 itu juga menyumbang kepada kejayaan Malaysia mengekalkan kerusi sebagai Ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Kategori III ketika Perhimpunan Agung ICAO pada 4 Okt lepas.

Malaysia berjaya mengekalkan kerusi di dalam ICAO di bawah Kategori III untuk penggal 2022 hingga 2025 semasa Perhimpunan Tritahunan ke-41 ICAO di Montreal, Kanada.

Malaysia berada di dalam majlis ICAO untuk enam penggal berturut-turut sejak pertama kali dipilih pada 2007.

“Ketika mengadakan pertemuan dua hala dengan banyak Negara Anggota ICAO di Montreal, Kanada, mereka turut memuji Malaysia dan ingin belajar daripada pengalaman Malaysia yang berjaya mendapatkan semula Kategori 1 penarafan IASA.

“Williams mengucapkan tahniah kepada CAAM dan saya berterima kasih kepada FAA atas pencapaian membanggakan ini. Diharapkan kedua-dua pihak Malaysia-AS dan CAAM-FAA dapat terus bekerjasama erat di masa hadapan demi manfaat industri penerbangan dan pengangkutan,” menurut Wee.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This