MOTAC fokus rancakkan industri acara perniagaan dalam PPN – Nancy Shukri

MOTAC fokus rancakkan industri acara perniagaan dalam PPN – Nancy Shukri

KUALA LUMPUR,. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberikan fokus merancakkan industri acara perniagaan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata menteri berkenaan DatuK Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata ia selaras dengan pengumuman kerajaan yang membuka semula sektor pelancongan domestik pada fasa ketiga dalam PPN.

“Terdapat 81 acara yang dijadualkan berlangsung pada tahun ini termasuk 56 konvensyen dan 24 pameran,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini semalam.

Mengambil contoh WTC Kuala Lumpur, Nancy berkata pusat konvensyen dapat beroperasi termasuk dijadikan sebagai PPV mega sekali gus mampu merancakkan industri berkenaan. Kini terdapat 19 pusat konvensyen yang digunakan sebagai PPV di seluruh negara.

Nancy berkata industri acara perniagaan dijangka mampu mewujudkan 25,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.

“Acara perniagaan dapat dikendalikan dengan menyasarkan penerima vaksin dan melalui kepatuhan keselamatan yang ketat. Kepatuhan SOP (Prosedur Operasi Standard) juga adalah tinggi,” katanya.

Sementara itu, Nancy berkata inisiatif Projek Destinasi Rintis Bebas COVID-19 oleh MOTAC akan diteruskan bagi membolehkan destinasi pelancongan utama dibuka setelah destinasi tersebut mencapai imuniti berkelompok yang ditetapkan kerajaan.

Beliau berkata MOTAC sedang menunggu bekalan vaksin untuk memulakan proses vaksinasi kepada pekerja sektor dan subsektor industri pelancongan di Pulau Langkawi yang dikenal pasti sebagai projek perintis Projek Destinasi Rintis Bebas COVID-19.

Katanya, Pulau Langkawi dipilih sebagai lokasi bagi projek perintis berikutan mempunyai kemudahan penerbangan antarabangsa yang boleh membawa pelancong secara terus dari luar negara selain mempunyai penduduk seramai 76,400 orang.

Beliau menjelaskan pilihan pulau peranginan itu adalah untuk menilai kejayaan projek perintis sama ada dapat membantu ke arah pemulihan sektor pelancongan dengan kadar segera.

Nancy yang juga berkesempatan menonton persembahan pemuzik dari Istana Budaya dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di WTC, berkata MOTAC dalam perancangan untuk mengadakan persembahan seperti itu di beberapa PPV di seluruh negara.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )