MOTAC laksana inisiatif pastikan usahawan makanan tradisional, kraf tangan dapat manfaat
KUCHING,. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan usahawan makanan tradisional serta kraf tangan turut menikmati limpahan manfaat daripada industri pelancongan.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri hari ini berkata antaranya adalah dengan menggalakkan kerjasama di antara pengusaha program pengalaman inap desa Malaysia dengan masyarakat setempat bagi mewujudkan produk hiliran.
“Contohnya produk berasaskan bahan-bahan tempatan yang boleh dipasarkan kepada pelancong yang datang ke inap desa seperti kerepek, kuih-muih tradisional dan barangan kraf tangan,” katanya semasa berucap di majlis penutupan makmal keusahawanan seni budaya 2020 di Simunjan, kira-kira 89km dari sini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata MOTAC juga sedang melaksanakan program pemasaran kraf hasil usahawan tempatan secara langsung kepada orang ramai dengan penglibatan pusat beli-belah, hotel tempatan dan pusat-pusat pelancongan.
“Inisiatif ini akan memberi impak jika peniaga atau usahawan kraf, seni, dan budaya, mempunyai ilmu pemasaran yang berteraskan digitalisasi dan kemahiran menggunakan platform digital yang merupakan elemen penting untuk terus kekal relevan dalam landskap norma baharu hari ini,” katanya.
— BERNAMA