MotoGP: Bekas juara dunia Marquez dibenar sertai ujian musim sejuk di Sepang

MotoGP: Bekas juara dunia Marquez dibenar sertai ujian musim sejuk di Sepang

KUALA LUMPUR,. Pasukan Repsol Honda MotoGP mengesahkan bekas juara dunia Marc Marquez akan menyertai Ujian Musim Sejuk 2022 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 5 Feb.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pasukan itu menyatakan, juara dunia enam kali dalam kelas premier itu telah dibenarkan untuk kembali beraksi di litar menggunakan jentera baharu Honda RC213V, untuk secara rasminya memulakan musim 2022 pada ujian pramusim bersama rakan sepasukan Pol Espargaro.

Pelumba Sepanyol berusia 28 tahun sebelum ini turun ke trek motocross, sebelum mencuba jentera Honda RC213V-s di Portimao, Portugal dan sebuah Honda CBR600 RR di Aragon, Sepanyol sebelum dibenarkan untuk kembali menggunakan jentera MotoGP buat pertama kali, kemenangan beliau di GP Emilia Romagna, Itali.

“Sepanjang musim sejuk, Marquez secara berterusan menjalani ujian dan konsultasi kesihatan bagi memantau keadaan diplopianya.

“Pada minggu-minggu terdekat ini, kondisi yang semakin baik telah memperlihatkan pasukan perubatannya menyatakan pemulihannya itu membolehkannya untuk kembali berlatih menggunakan jentera dua roda.

“Isnin lepas (24 Jan) Marquez menjalani satu lagi ujian kesihatan yang mengesahkan bahawa rawatan yang dilakukan merupakan satu kejayaan dan juara dunia lapan kali itu kini dalam keadaan sesuai untuk menunggang sebuah motosikal MotoGP,” menurut kenyataan tersebut.

Honda dalam kenyataan itu menyatakan selepas ujian di Sepang, Marquez akan ke Mandalika, Indonesia pada minggu berikutnya.

Marquez telah dilaporkan menghidapi masalah penglihatan berganda pada salah satu daripada matanya, selepas sebelum ini alami kerosakan saraf yang sama pada 2011 pada kemalangan Moto2 di SIC.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This