
MotoGP: Morbidelli akhiri kemarau podium
KUALA LUMPUR,. Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Franco Morbidelli akhirnya menamatkan kemarau podium sejak 2018 selepas merangkul tempat kedua pada perlumbaan MotoGP Dunia di Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Brono, hari ini.
Pelumba Itali berusia 25 tahun itu, yang memulakan saingan di petak ketiga, dipintas oleh pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Brad Binder pada pusingan ke-12 sebelum mengekalkan kedudukan pendahulu untuk merangkul kejuaraan sulung musim ini.
Pelumba Afrika Selatan itu, yang muncul naib juara Moto2 musim lalu, mencatatkan masa 41 minit 38.764s diikuti Morbidelli dan pelumba Perancis, Johann Zarco daripada pasukan Esponsorama Racing, dengan masing-masing ketinggalan +5.266s dan +6.470s di belakang Binder.
Kali terakhir Morbidelli mencapai kemenangan podium ialah pada saingan Moto2 pada 2017 ketika mewakili pasukan Belgium, EG 0.0 Marc VDS.
Sementara itu, impian rakan sepasukan Morbidelli, Fabio Quartararo, yang menjuarai GP Sepanyol dan GP Andalucia di Litar Jerez, bulan lalu, untuk mencipta kemenangan hatrik tidak kesampaian apabila hanya mampu menduduki tempat ketujuh daripada 18 pelumba.
Beliau menamatkan perlumbaan 21 pusingan itu dengan catatan masa 41’50.591s.
Perlumbaan seterusnya ialah GP Austria di Litar Red Bull Racing di Speilberg, Austria dari 14 hingga 16 Ogos ini.
— BERNAMA