MoU pelaburan syarikat berkaitan teknologi dijangka dimeterai ketika lawatan PM ke China
SHAH ALAM,. Beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan pelaburan dijangka dimeterai syarikat berkaitan teknologi di China bersempena dengan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu bermula hari ini hingga 1 April.
Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang yang akan menyertai lawatan Perdana Menteri berkata, beliau berharap dapat bertemu dengan rakan sejawatnya di China untuk membincangkan aspek berkaitan sains, teknologi dan inovasi terutamanya sektor kenderaan elektrik, teknologi angkasa dan pelaburan.
“Kita berharap lawatan ini akan menghasilkan kerjasama bagi menaik taraf pelaburan berkaitan teknologi. Malah, banyak pelabur China berminat untuk melabur di Malaysia, cuma di peringkat yang berbeza. Ada yang sudah di peringkat akhir, ada yang baru bermula,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat baharu Subplace di sini semalam.
Beliau berkata semasa lawatan itu, selain perbincangan lanjut antara kementeriannya dengan beberapa syarikat berkaitan teknologi, sesi itu akan turut melibatkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri khususnya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia bagi urusan pelaburan.
Walaupun lawatan tersebut bukan misi perdagangan negara, beliau berkata pihaknya akan memanfaatkan peluang tersebut untuk berbincang lebih lanjut dengan rakan sejawat dan syarikat berkaitan teknologi di negara itu yang berminat untuk melabur di Malaysia.
Sementara itu, mengenai rayuan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) untuk menggugurkan syarat lesen operasinya di Malaysia, Chang berkata pendengaran rayuan itu akan dibuat pada akhir April.
“Pada Februari lepas, kerajaan telah membuat keputusan untuk melanjutkan lesen operasi Lynas tetapi mengekalkan empat syarat tersebut, dan Lynas mempunyai 30 hari untuk membuat rayuan dan mereka telah menghantar rayuan itu.
“Saya akan mempengerusikan sesi pendengaran itu dan keputusan akan dibuat selepas sesi berkenaan, namun tiada had masa,” katanya.
— BERNAMA