
MPM komited tingkat produktiviti pelabuhan
LABUAN,. Pihak pengurusan Megah Port Management (MPM) Sdn Bhd komited untuk meningkatkan perkhidmatan Pelabuhan Dermaga Merdeka Labuan bagi mengoptimumkan tahap produktiviti lebih baik berbanding sebelum ini.
Pengarah Urusannya, Tan Sri Bakri Mohd Zinin berkata, pihaknya selaku pengendali pelabuhan sedang giat menambah baik prasarana dan fasiliti dimiliki bagi memberi keselesaan kepada semua pihak terutama pengguna pelabuhan tersebut.
Beliau berkata, sejumlah RM10 juta peruntukkan disedia bagi mempersiapkan persekitaran lebih baik dan berkualiti bukan saja kepada pelanggan malah kakitangan sebagai asas membangunkan modal insan berketrampilan serta berminda kelas pertama.
“Saya yakin bahawa kejayaan untuk menyampai perkhidmatan kepada pengguna pelabuhan amat bergantung kepada kecekapan tenaga kerja serta keupayaan para pegawai yang didokong petugas berkemahiran dan berintergriti.
“Kedua-dua asas ini penting dalam menjayakan misi menyediakan kemudahan pelabuhan yang strategik dan produktif untuk semua,” katanya di dalam ucapan Majlis Pengambilalihan Pengendali Pelabuhan Dermaga Merdeka semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pebadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman; Ketua Pegawai Operasi MPM Sdn Bhd, Datuk Seri Patrick Tiong dan Pengarah Straits Inter Logistic Berhad, Datuk Chang Pooh Nee.
Sementara itu, menurut Bakri pengambilalihan itu sepatutnya diadakan 1 April lalu, namun terpaksa ditangguhkan akibat penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa MPM Sdn Bhd, sebagai pengendali baharu pelabuhan itu mampu membantu menjana ekonomi negara dan meningkatkan ekonomi Wilayah Persekutuan Labuan serta penduduk setempat. – WILAYAHKU