MPN cadang pintu sempadan negara dibuka kepada pelancong asing selewat-lewatnya 1 Januari 2022

MPN cadang pintu sempadan negara dibuka kepada pelancong asing selewat-lewatnya 1 Januari 2022

PUTRAJAYA: Majlis Pemulihan Negara hari ini mencadangkan agar pintu sempadan negara dibuka kepada pelancong asing selewat-lewatnya bermula 1 Januari 2022, kata Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, perkara tersebut telah dipersetujui dalam mesyuarat MPN yang berlangsung pada Khamis. “Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai situasi sektor pelancongan negara yang menyaksikan pemulihan yang agak perlahan disebabkan ketiadaan pelancong antarabangsa yang memasuki negara ini selain operator sektor ini yang memerlukan masa dan sumber untuk memulakan perniagaan mereka,” kata Muhyiddin.

“Mengambil kira tahap pencapaian program vaksinasi negara yang amat baik, mesyuarat hari ini memutuskan supaya sempadan negara dibuka kepada pelawat antarabangsa selewat-lewatnya 1 Januari 2022 bagi mempercepatkan pemulihan khususnya dalm sektor pelancongan,” kata Muhyiddin, dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Putrajaya.

Sektor pelancongan adalah sektor yang paling teruk terjejas dan memerlukan pemulihan segera masa ini. Negara pula akan mengalami kerugian lebih RM90 bilion jika sektor itu terus ditutup, tambahnya.

Justeru, jelas beliau sempadan negara boleh dibuka dengan kaedah-kaedah atau langkah-langkah pematuhan tertentu yang difikirkan wajar dan perlu selain keutamaan yang boleh diberikan kepada negara yang telah mencapai kadar vaksinasi yang tinggi.

“Kita mempunyai tahap vaksinasi yang tinggi dan antara terbaik di dunia, mungkin dalam kalangan lima terbaik, jadi apa faedah yang sepatutnya kita raih ialah membenarkan pelancong masuk ke sempadan namun kita perlu sentiasa berjaga-jaga.

“Jawatankuasa COVID-19 mungkin sudah mengenal pasti mana negara dibenarkan masuk ke negara kita dan ia patut diumumkan,” jelasnya. Muhyiddin turut mengalu-alukan persetujuan yang telah dicapai oleh Malaysia-Indonesia hasil daripada pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo untuk membuka sempadan kedua-dua negara tidak lama lagi.

Jelas Muhyiddin, ia adalah satu tindakan yang wajar dan memberi manfaat kepada Malaysia dalam sektor pekerjaan membabitkan perladangan dan lain-lain.

-Agensi

CATEGORIES
Share This