MPOCC yakin masa depan industri sawit cerah

MPOCC yakin masa depan industri sawit cerah

MIRI,. Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) berkeyakinan penuh industri sawit mempunyai masa depan cerah selepas trend harga terus menaik.

Pengerusinya Muhtar Suhaili berkata harga Minyak Sawit Mentah (CPO) terus memulih dan kini mencecah RM2,400 satu tan jika dibandingkan RM2,299 dan RM2,074 iaitu harga purata masing-masing pada April dan Mei.

“Harga buah tandan sawit segar (FFB) juga meningkat dengan Gred A berharga antara RM476 hingga RM495 satu tan berbanding antara RM404 hingga RM419 pada awal Mei 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Inisiatif kerajaan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada 5 Jun lalu juga memberi berita gembira kepada pemain-pemain industri sawit secara keseluruhannya.

“Kerajaan memberi pengecualian 100 peratus duti eksport ke atas minyak sawit mentah, minyak isi rung sawit mentah dan minyak isi rung sawit diproses mulai 1 Julai hingga 31 Disember 2020 sekali gus mendorong kemajuan sektor komoditi,” jelasnya.

Muhtar berkata, dalam hal itu niaga hadapan minyak sawit terus melonjak dengan peningkatan keyakinan negara pengguna utama seperti India, China dan Pakistan.

“Kenaikan harga minyak sawit juga disokong oleh pemulihan harga minyak mentah yang meningkatkan daya tarikan biofuel.

“Tahniah kepada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengembalikan keyakinan India memperbaharui pembelian komoditi sawit sekali gus menstabilkan harga,” katanya.

Muhtar percaya hala tuju kementerian menyasarkan untuk memperluas produk sawit ke pasaran baharu termasuk Afrika dan Asia Barat.

“Kementerian menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) membuat kajian menyeluruh kekuatan pasaran Afrika dan Asia Barat dalam masa terdekat.

“Bagi MPOCC, kita memastikan industri sawit terus relevan melalui pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia atau Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) boleh dikatakan salah satu instrumen penting menjenamakan minyak sawit Malaysia sebagai pilihan utama dalam pasaran antarabangsa,” jelasnya.

MSPO dilancarkan sejak 2015 dengan prinsip utama bagi pengurusan penanaman kelapa sawit melalui amalan pertanian terbaik selari dengan undang-undang negara.

Kelebihan MSPO adalah memanfaatkan dan melonjakkan industri itu sendiri sekali gus menjadikan minyak sawit Malaysia sebagai pilihan utama di peringkat antarabangsa.

MSPO adalah skim pensijilan dibangunkan kerajaan bagi memastikan pemain-pemain industri termasuk pekebun kecil sawit mematuhi keperluan digariskan menghasilkan minyak sawit mapan.

Pensijilan MSPO juga dapat meningkatkan kesedaran mengenai perlindungan alam sekitar.

Sehingga 4 Jun lalu, statistik terkini menunjukkan 82.28 peratus ladang kelapa sawit dan 88 peratus kilang kelapa sawit seluruh negara mempunyai sijil MSPO.

CATEGORIES
TAGS
Share This