MR D.I.Y. tawar khidmat menggunting rambut secara percuma kepada pelajar

MR D.I.Y. tawar khidmat menggunting rambut secara percuma kepada pelajar

KUCHING,. Dalam usaha membantu rakyat terkesan akibat kenaikan harga pelbagai barangan dan perkhidmatan, peruncit perkakas rumah kegemaran Malaysia, MR D.I.Y. baru-baru ini telah tampil dengan inisiatif lain daripada yang lain untuk para pelajar di Selangor iaitu menawarkan khidmat menggunting rambut secara percuma.

MR D.I.Y menerusi kenyataan medianya semalam berkata, lebih 300 pelajar telah menikmati manfaat ini di bawah inisiatif Program Gunting Rambut.

Ia katanya, merupakan sebahagian daripada usaha peruncit tersebut untuk menimbulkan kesedaran mengenai penjagaan kebersihan diri yang lebih baik.

Program tersebut ujarnya, merupakan inisiatif bersama antara MR D.I.Y., Badan Pengurusan Bersama [JMB] Pangsapuri Sri Bakawali, Bukit Sentosa, Rawang, Pusat Tuisyen Sinaran Impian dan Pertubuhan Penggerak Komuniti Impian di Seri Kembangan.

Mengulas mengenai inisiatif tersebut, Pengerusi Kumpulan MR D.I.Y. Dato Azlam Shah Alias berkata, dalam waktu yang mencabar seperti sekarang, orang ramai perlu diberi galakan dan semangat.

Menurut beliau, individu yang berkemampuan boleh mengunjungi kedai gunting rambut atau salon setiap bulan untuk menggunting rambut atau mendapatkan khidmat profesional untuk penggayaan rambut.

“Tetapi ramai juga yang tidak mampu berbuat demikian. Bagi kami, potongan rambut yang baik dapat menaikkan semangat dan keyakinan seseorang.

“Inilah sebabnya kami mewujudkan Program Gunting Rambut. Ia adalah cara yang paling sesuai untuk menceriakan komuniti.

“Pada masa yang sama, ia membina komuniti lebih selamat dan sihat dengan mempromosikan penjagaan kebersihan diri lebih baik. Program ini mudah, selamat dan menguntungkan semua pihak,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.

Program tersebut diadakan dalam dua sesi. Bagi sesi pertama, 20 sukarelawan dari MR D.I.Y. dan 10 penggaya rambut dari GIATMARA Ampang Jaya, DMZ Salon & Barber Academy dan Eunoia Professional Hair Studio memberikan khidmat menggunting rambut secara percuma kepada 100 pelajar dari Pangsapuri Sri Bakawali, Bukit Sentosa, Rawang.

Sesi kedua pula menyaksikan 200 pelajar dari kawasan Seri Kembangan mendapatkan khidmat menggunting rambut secara percuma yang dikendalikan 23 sukarelawan MR D.I.Y dan 12 penggaya rambut GIATMARA Ampang Jaya.

Bagi menambahkan kemeriahan acara tersebut, peruncit itu juga telah mengadakan Zon Aktiviti STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) yang menampilkan pelbagai aktiviti pembelajaran untuk para pelajar dan ibu bapa mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai MR D.I.Y., layari www.mrdiy.com, platform e-dagang, www.mrdiy.com.my, Facebook dan Instagram.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )