
MR. D.I.Y. umum lebih 1,000 peluang pekerjaan buat rakyat Malaysia
KUCHING,. Perusahaan Malaysia, MR. D.I.Y. menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia di seluruh negara untuk memenuhi permintaan kepakaran yang relevan di cawangan-cawangan serta ibu pejabatnya di Selangor.
MR. D.I.Y. menerusi satu kenyataan semalam menjelaskan, dengan lebih 600 cawangan di seluruh negara, MR. D.I.Y. menawarkan kepada rakyat Malaysia pelbagai peluang pekerjaan dari pelbagai peringkat di seluruh cawangannya di Semenanjung dan Timur Malaysia.
“Sebagai tambahan, juga terdapat peluang pekerjaan ditawarkan di ibu pejabat MR. D.I.Y. termasuklah jawatan peringkat pengurusan, eksekutif serta pegawai dan graduan baharu untuk mereka yang berkelayakan.
“Kempen tawaran peluang pekerjaan oleh MR. D.I.Y. ini telah pun bermula sejak 1 Jun dan berlangsung selama 3 bulan.
“Bagi melayakkan diri, calon mestilah berumur 18 tahun ke atas dan mempunyai Ijazah/Diploma (bagi jawatan penyelia dan ke atas) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (bagi jawatan juruwang dan pembantu jualan),” jelas kenyataan itu.
Sebagai majikan yang prihatin, MR. D.I.Y. amat menggalakkan individu kurang upaya untuk memohon peluang pekerjaan ini.
MR. D.I.Y. juga menawarkan faedah perlindungan perubatan, diskaun kakitangan, peningkatan gaji dan bonus tahunan, percutian syarikat, serta peluang perkembangan kerjaya dan kenaikan pangkat.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan MR. D.I.Y. Adrian Ong berkata, pandemik COVID-19 telah meletakkan semua pihak di situasi yang amat sukar kerana dalam masa yang sama, semua orang sedang berperang dengan isu kesihatan dan ekonomi.
Jelasnya, MR. D.I.Y. sebagai peruncit perkakas rumah dan barangan keperluan yang berkembang pesat telah berupaya mengekalkan serta mengembangkan tenaga kerja bagi menyokong ekonomi negara.
“Kami amat berbesar hati berada di posisi yang membolehkan kami untuk menarik lebih ramai individu yang mencari peluang pekerjaan bagi membina kerjaya jangka panjang.
“Kami juga amat mengalu-alukan individu yang cerdas, bersemangat dan rajin untuk menyertai pasukan kami yang sedang berkembang ini sama ada di ibu pejabat mahupun di cawangan-cawangan kami di seluruh negara,” ujarnya menerusi satu kenyataan semalam.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kelayakan dan peluang pekerjaan yang ada, dan ingin menghantar butiran diri anda, sila layari laman sesawang MR. D.I.Y., www.mrdiy.com/career. Untuk maklumat lanjut mengenai MR. D.I.Y., sila layari akaun media sosialnya — Facebook @mrdiy2u; Instagram @mrdiy2u; dan LinkedIn MR DIY Malaysia.