Mufti Sabah hormati keputusan Mahkamah Tinggi

Mufti Sabah hormati keputusan Mahkamah Tinggi

– Namun akan rujuk muzakarah Majlis Fatwa Negeri tempoh terdekat

KOTA KINABALU: Mufti Negeri Sabah Datuk Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar berkata keputusan terbaharu Mahkamah Tinggi berkaitan penggunaan kalimah ALLAH akan dirujuk kepada muzakarah Majlis Fatwa Negeri (MFN) dalam tempoh terdekat.

Perkara itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan arahan berkaitan larangan penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan pendidikan Agama Kristian, Rabu lepas.

Selain kalimah ALLAH, kebenaran serupa turut diberikan kepada perkataan Baitullah, Kaabah dan Solat, tetapi perlu diletakkan ayat penafian ‘Hanya Untuk Orang Kristian, dengan lambang salib di hadapan kulit buku.

Ustaz Bungsu berkata pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi berhubung perkara terbabit, namun kenyataan lanjut akan dikeluarkan hasil muzakarah kelak. “Sebenarnya, MFN sudah lama mengeluarkan fatwa pengharaman penggunaan kalimah ALLAH untuk penganut bukan Islam di negeri ini,” katanya, ketika dihubungi Utusan Borneo di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau percaya umat Islam di Sabah sentiasa bertenang dan diharap akan kekal tenang, pada masa sama memberi ruang kepada pihaknya membincangkan hal itu. Menurutnya, banyak perkara yang perlu dilihat kesan keputusan Mahkamah Tinggi itu, termasuklah kesannya terhadap fatwa berkaitan yang sudah lama diwartakan di negeri ini.

“Kita masih menunggu masa yang sesuai untuk bermuzakarah kerana difahamkan Yang Dipertua (YDP) Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) baharu sahaja dilantik,” katanya. Beliau berkata pelantikan jawatankuasa baharu MFN memerlukan endorsement MUIS dan usul berkaitan akan dikemukakan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi MUIS.

Menyentuh hal berkaitan juga, beliau berharap proses pelantikan 13 ahli jawatankuasa baharu MFN berkenaan dapat disegerakan untuk membolehkan mereka bersidang.

Ditanya status pembukaan masjid ke tahap maksimum mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negeri ini pula, Mufti Negeri berpuas hati dengan pelaksanaannya setakat ini.

Bagaimanapun, Ustaz Bungsu berharap setiap jawatankuasa atau pengelola masjid di negeri ini memperketatkan protokol masing-masing untuk mengelak kejadian tidak diingini.

“Apabila sudah terlalu ramai jemaah hadir, kawalan mungkin akan menjadi sedikit longgar, jadi kita harap mereka tidak terlepas pandang dengan pematuhan SOP,” katanya.

-Utusanborneo

CATEGORIES
Share This