Mugabe meninggal dunia di Singapura

SINGAPURA, 6 Sept (Bernama) — Singapura hari ini mengesahkan bekas Presiden Zimbabwe Robert Mugabe meninggal dunia di Hospital Gleneagles di sini pagi ini, menurut Kementerian Luar Negeri republik itu.

“Kementerian sedang bekerjasama dengan Kedutaan Zimbabwe di Singapura untuk urusan menghantar pulang jasad Mugabe ke Zimbabwe,” kata jurucakap kementerian menerusi e-mel kepada Bernama.

Kementerian turut merakamkan ucapan takziah di atas kematian bekas Presiden itu.

Presiden Zimbabwe Emmerson Mnangagwa dalam akaun Twitternya hari ini mengumumkan berita kematian Mugabe.

“Dengan penuh duka cita saya umumkan pemergian pengasas dan bekas presiden Zimbabwe, Robert Mugabe. Mugabe merupakan ikon pembebasan, seorang pan Afrikanis yang mendedikasikan hidupnya untuk membebaskan dan memperkasa rakyatnya.

“Sumbangan beliau terhadap sejarah negara dan benua kita tidak akan pernah dilupakan. Semoga rohnya tenang di sana,” tulis Mnangagwa.

Mnangagwa pada Ogos mengesahkan Mugabe, 95, berada di sebuah hospital di sini dan telah menjalani rawatan selama empat bulan.

Mugabe berkhidmat sebagai presiden negara itu dari 1987 hingga 2017. Sebelum itu beliau memegang jawatan perdana menteri.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This