Muhyiddin adalah pemimpin berjiwa rakyat – Jahid Jahim

Muhyiddin adalah pemimpin berjiwa rakyat – Jahid Jahim

TAMPARULI, 13 Sept — Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Jahid Jahim berkata PBS terpikat dengan pendekatan kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang prihatin dan sentiasa menjaga kebajikan rakyat.

Katanya, dalam suasana negara sedang bergelut menangani pandemik COVID-19, tidak ada pihak terlepas daripada perhatian Muhyiddin dan dilihat begitu bersungguh-sungguh membantu setiap lapisan masyarakat.

“Muhyiddin adalah “darling of the people” (orang kesayangan rakyat). Sebab itu, kita tidak ragu-ragu memberi sokongan kepada beliau apatah lagi dengan wujudnya portfolio baharu dalam Kabinet untuk menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak terutamanya melibatkan Perjanjian Malaysia (MA63),” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Jahid, yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli, berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Muhyiddin semalam yang mengatakan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan PBS di Sabah kini dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah.

Pengumuman itu dibuat Muhyiddin, selaku pengerusi PN, dalam ucapannya semasa bertemu calon PN bagi kerusi DUN Sulaman, yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor di Pejabat Perhubungan Bersatu di Tuaran semalam.

Jahid, selaku penyandang kerusi DUN Tamparuli, berkata gabungan berkenaan memperlihatkan kesamaan dalam parti dalam erti kata setaraf dalam semua perkara.

Semalam, Muhyiddin meluangkan masa hampir sejam di pekan Tuaran untuk bertemu dan beramah mesra dengan peniaga di Pasar Ikan dan Pasar Am di pekan itu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 Sept ini, Jahid menghadapi pertandingan empat penjuru melibatkan calon Parti Cinta Sabah (PCS) Denis George Kian Fah, Datuk Alijus @ Mohd Ali Sipil (PKR) dan calon Parti Liberal Demokratik (LDP) Dr Raymond Alfred @ Jenry.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This