Muhyiddin dibebas dengan jaminan SPRM

Muhyiddin dibebas dengan jaminan SPRM

PUTRAJAYA,. Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ditahan hari ini dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi akan tetap hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur esok untuk pendakwaan.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.
“Muhyiddin dibebaskan dengan jaminan dan akan ke mahkamah esok,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama.

Muhyiddin yang ditahan pada 1 tengah hari tadi dibebaskan pada 8.20 malam ini selepas hadir untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dan isu berkaitan di ibu pejabat SPRM di sini.

Menurut SPRM, pihaknya telah mendapat izin untuk mendakwa Ahli Parlimen Pagoh itu daripada Pejabat Peguam Negara.

SPRM memaklumkan Muhyiddin bakal berdepan pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

SPRM sebelum ini telah membekukan akaun Bersatu dan beberapa individu termasuk Ketua Penerangan parti itu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad, yang didakwa di mahkamah berkaitan projek Jana Wibawa.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This