Muhyiddin mula tugas sebagai Perdana Menteri

Muhyiddin mula tugas sebagai Perdana Menteri

PUTRAJAYA,. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di pejabatnya, di sini, untuk memulakan tugas sebagai perdana menteri hari ini.

Kenderaan membawa Perdana Menteri ke-8 itu dilihat tiba jam 7.54 pagi di Pejabat Perdana Menteri di pekarangan bangunan Putra Perdana.

Muhyiddin disambut Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali sebelum dibawa ke aras 5, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri.

Sebelum memasuki pejabat, Muhyiddin mengimbas kad perakam waktu dan mengaminkan bacaan doa.
Beliau kemudian mendaftar masuk tepat jam 7.58 pagi untuk memulakan tugas.

Selepas memasuki pejabatnya, beliau menandatangani buku selamat datang dan selamat bertugas.
Muhyiddin, 72, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara semalam (1 Mac).

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Muhyiddin itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Pada hari pertamanya, Muhyiddin mempunyai jadual temujanji dengan Mohd Zuki, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

CATEGORIES
TAGS
Share This