Muhyiddin perlu diberi ruang keluarkan negara dari situasi regresif – MTUC

KUALA LUMPUR,. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini berkata Perdana Menteri baharu Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu diberikan ruang untuk membawa negara keluar dari situasi regresif semasa yang telah menjejaskan golongan pekerja secara menyeluruh.

Presiden MTUC Datuk Halim Mansur, ketika mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin atas pelantikannya sebagai perdana menteri kelapan Malaysia, berkata tugasan berat pemimpin itu baru bermula dan keutamaan harus diberikan kepada membina semula negara serta menyembuhkan luka.

Menurutnya dalam satu kenyataan hari ini, MTUC berikrar untuk memberi kerjasama penuh kepada kerajaan baharu pimpinan Muhyiddin dalam sebarang usaha bagi mengurangkan beban kewangan yang dipikul golongan pekerja dan memastikan keselamatan pekerjaan serta membantu merangsang ekonomi negara.

MTUC turut menyambut baik jaminan perdana menteri pada Isnin untuk membentuk kabinet bersih yang akan bekerja keras untuk semua rakyat Malaysia.

Beliau juga menggesa perdana menteri agar memberikan tumpuan khas berhubung pelantikan menteri sumber manusia berikutnya bagi memastikan hak-hak golongan pekerja dan kesatuan sentiasa ditegakkan.

Kerajaan baharu juga harus memastikan bahawa majikan tidak mengambil kesempatan berikutan isu COVID-19 untuk meletakkan syarat dan memberi keutamaan kepada dana pusingan yang disarankan MTUC bagi membantu golongan pekerja yang membawa pulang pendapatan lebih rendah susulan kemerosotan ekonomi yang semakin memburuk akibat penularan virus itu, katanya.

Halim berkata terdapat juga keperluan untuk kerajaan baharu merangka skim insurans perubatan kepada semua rakyat Malaysia.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )