
Musa Aman dakwa ada majoriti mudah untuk bentuk kerajaan baharu Sabah
KOTA KINABALU, 29 Julai — Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman hari ini mendakwa telah memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu menerusi gabungan beberapa parti di negeri itu.
Bagaimanapun ketika mengumumkan perkara itu pada sidang media di sini, Musa tidak memberitahu jumlah majoriti mudah yang diperolehinya bagi mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan).
Musa turut memaklumkan beliau akan mengetuai beberapa ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah untuk menghadap Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri dalam masa terdekat.
“Saya ingin memaklumkan bahawa satu gabungan baharu telah dibentuk bersama ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah daripada pelbagai parti.
“Saya juga ingin memaklumkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk (Mohd) Nardin (Awang) setiausaha politik kepada Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) telah membuat kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama (TYT) (Tun Juhar Mahiruddin) pagi tadi untuk memaklumkan gabungan baharu itu.
“… yang menyokong Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memperoleh sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu,” katanya.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ketika ini mempunyai 65 kerusi termasuk lima ADUN dilantik dan majoriti mudah semasa ialah 33 kerusi.
Sebelum perkembangan terbaharu ini, blok kerajaan mempunyai 45 kerusi manakala blok pembangkang 20 kerusi.
Blok kerajaan terdiri daripada Warisan (31 kerusi), DAP (6), UPKO (2), PKR (2) dan ADUN dilantik (4), sementara blok pembangkang pula merangkumi Bersatu (9), PBS (4), STAR (3), Bebas (2), UMNO (1) dan ADUN dilantik (1).
Musa berkata beliau telah menerima surat akuan bersumpah ADUN yang mengesahkan pendirian mereka untuk menyokong gabungan baharu yang diketuainya, dan menambah bahawa Yang Dipertua Negeri meminta beliau mengemukakan surat-surat akuan bersumpah yang mengesahkan sokongan berkenaan.
“(Langkah seterusnya) kita akan berjumpa dengan TYT, saya akan menyerahkan surat akuan yang telah diberikan kepada saya,” kata Musa.
Musa yang juga ADUN Sungai Sibuga yang juga kerusi tunggal UMNO di DUN itu tidak memaklumkan nama gabungan baharu berkenaan.
Beliau juga berkata kerajaan gabungan baharu itu akan berusaha membaiki dan menghasilkan dasar lebih berkesan untuk membawa Sabah keluar daripada keadaan ekonomi getir ketika ini.
Bersama dengan bantuan kerajaan Persekutuan, Musa percaya gabungan baharu itu akan dapat bersama-sama mengatasi cabaran, sekali gus melonjakkan ekonomi, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan meningkatkan kehidupan masyarakat.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang secara konsisten mempercayai dan menyokong saya.
“Saya tidak mengharapkan apa-apa kecuali komitmen dan dedikasi sepenuhnya daripada semua wakil rakyat untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
— BERNAMA