Musa Aman Tuntut RM1 Bilion, Permohonan Maaf Terbuka Daripada Shafie Apdal & Yayasan Sabah

KOTA KINABALU,. Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman membuat tuntutan RM1 bilion dan permohonan maaf secara terbuka atas tuduhan Yayasan Sabah ke atasnya semalam.

Surat tuntutan tersebut diserahkan kepada Ketua Menteri selaku Pengerusi Yayasan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria dan peguam, Datuk Douglas Lind.

Tuntutan itu akan berkuat kuasa dalam tempoh 24 jam selepas penerimaan surat tersebut.

Peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad yang mewakili Musa berkata, anak guamnya menyatakan kesan sidang akhbar, siaran akhbar dan dedahan tentang writ saman tersebut telah merosakkan nama baik serta reputasinya.

“Sebagai balasan kepada sidang akhbar, siaran akhbar dan dedahan tentang pemfailan Writ Saman di antara Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah dan Tan Sri Musa (‘penyataan yang diragui’), saya telah diarahkan untuk mengeluarkan surat tuntutan kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah) bersama-sama dengan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram dan juga Datuk Douglas Lind (peguam),” katanya.

Tengku Fuad berkata demikian dalam kenyataan medianya pada Sabtu.

Terdahulu, pada Jumaat Jamalul Kiram yang mewakili Yayasan Sabah memfailkan saman RM827 juta terhadap Musa.

Dalam kenyataan Jamalul Kiram, pihaknya terdahulu mendakwa Musa terlibat dengan aktiviti pembalakan yang meragukan dan seterusnya memfailkan tuntutan menerusi e-Pemfailan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, pada Selasa lalu.

Sementara itu, mengulas lanjut, Tengku Fuad berkata, surat tuntutan terbabit dikeluarkan kepada tiga penama tersebut dengan melibatkan beberapa perkara seperti berikut. :

I. Membayar wang sebanyak Ringgit Malaysia Satu Bilion (RM1,000,000,000.00) kepada mana-mana badan amal pilihan Tan Sri Musa;

II. Surat permohonan maaf tanpa syarat kepada Tan Sri Musa dan dihantar kepada kami sebagai peguam beliau melalui faks dan email dan menarik balik penyataan yang diragui seperti yang tersebut diatas;

III. Surat permohonan maaf dan penarikan balik penyataan tersebut haruslah diterbitkan disemua surat akhbar termasuk media sosial dan laman web;

IV. Sebuah sidang akhbar harus diadakan sama seperti sidang akhbar yang berlangsung para 19hb Jun 2020 lalu dihadiri oleh para wartawan dari surat khabar dan media sosial yang mana surat permohonan maaf dan penarikan penyataan tersebut harus dibaca penuh kepada umum; dan

V. Kesemua pihak yang dinamakan (dan/atau dengan wakil mereka) yang dinamakan dalam tuntutan tersebut diminta untuk berhenti dan menahan diri dari mengulangi penyataan yang diragui itu atau mana-mana ayat lain yang mempunyai maksud yang sama. – Awani

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )