
Mustahil Sabah Sarawak akan dapat royalti minyak 20 Peratus – Bung Moktar Radin
KEMABONG : Ketua Barisan Nasional Sabah, Bung Moktar Radin, tidak faham kenapa Pakatan Harapan berikrar akan menaikkan bayaran royalti minyak untuk Sabah dan Sarawak kepada 20%, mengatakan ia mustahil.
Beliau menjelaskan mengubah royalti untuk negeri bukan mudah kerana ia membabitkan perjanjian sedia ada dengan syarikat-syarikat minyak, termasuk antarabangsa.
“Kami membuat kajian mengenai Perjanjian Malaysia 1963 berhubung royalti yang sudah berpuluh tahun. Ini bukan perkara baharu tetapi kerajaan persekutuan sukar untuk lulus kerana terlalu mustahil,” katanya kepada pemberita selepas ceramah hari ini.
“Perjanjian termeterai selepas Merdeka dengan perbadanan antarabangsa termasuk syarikat-syarikat besar luar negara.
“Pada ketika itu Malaysia tidak ada kepakaran untuk menggerudi dan mengeluarkan minyak, jadi kita terpaksa menggunapakai kepakaran dari luar negara.”
Bung berkata hal itu merumitkan hal meningkatkan bayaran royalti minyak daripada 5% kepada 20%.
Atas sebab itu, katanya, Gabungan Rakyat Sabah dalam manifesto “Aku Janji” berikrar untuk menubuhkan Majlis Petroleum Sabah untuk mengkaji hal minyak dan gas di negeri itu.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tahun lepas akui memberikan 20% kepada Sabah dan Sarawak sukar dilakukan kerana ia akan menyebabkan Petronas bukan lagi menjadi syarikat minyak antarabangsa.
Bung, yang bertanding di DUN Lamat, bagaimanapun berkata ada cara lain untuk memenuhi tuntutan Sabah itu.
“Kami akan bincang dengan Petronas. Benarkan kami tadbir negeri ini dan tak perlu risau,” katanya.
Semasa berkempen di Bongawan, Bung berkata Majlis Petroleum Sabah yang dicadangkan itu bertujuan untuk menuntut hak Sabah supaya wang boleh digunakan untuk pendidikan dan projek pembangunan lain.