MYDIN menawarkan diskaun dan ganjaran hebat sempena Tahun Baru Cina ini

MYDIN menawarkan diskaun dan ganjaran hebat sempena Tahun Baru Cina ini

SUBANG JAYA,. Sempena sambutan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi, Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) melancarkan kempen e-dompet “ONGnya MYDIN”. Kempen ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi Dan Digital (KKD), YB Teo Nie Ching di MYDIN Subang Jaya pada hari Isnin (Jan 16). Kempen ini menjaminkan pelbagai rebat tunai dan diskaun, dengan kerjasama lima syarikat e-dompet terkemuka iaitu, Maybank E-Wallet, Atome, Zapp, Mcash dan Boost.

“MYDIN telah berdiri teguh semenjak tahun 1957, dan pelanggan kami merangkumi pelbagai bangsa dan juga agama. Komuniti Cina juga telah banyak menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan kami, dan saya berasa amat bersyukur dengan sokongan yang telah diberikan oleh mereka sepanjang tempoh ini,” kata Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Dr. Haji Ameer Ali Mydin dalam ucapannya di majlis pelancaran kempen tersebut.

Beliau menambah, “Bagi menghargai sokongan dan meraikan keharmonian ini, MYDIN telah menjalin kerjasama dengan lima rakan e-dompet, iaitu Atome, Boost, MAE by Maybank2U, MCash dan Zapp bagi menawarkan penjimatan hebat melalui rebat tunai dan ganjaran khusus buat pengguna apabila mereka berbelanja menggunakan e-dompet di cawangan MYDIN di seluruh negara.”

Seramai 15 pelanggan bertuah yang berbelanja terbanyak menggunakan e-dompet terlibat sepanjang kempen berlangsung, mereka berpeluang menyertai “supermarket sweep” yang menjanjikan hadiah RM1,000 setiap seorang. MYDIN turut menawarkan penjimatan dengan promosi barangan asas dengan harga yang istimewa sepanjang kempen berlangsung.

Menurut Nie Ching dalam ucapannya, Kempen E-Dompet ONGnya MYDIN bertepatan dengan matlamat kerajaan untuk mempertingkatkan literasi pembayaran digital seperti digariskan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).

“Bagi mempertingkatkan tahap kesedaran dan juga merancakkan penerimagunaan pembayaran digital ini, Kementerian Komunikasi dan Digital melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dengan kerjasama Payments Network Sdn. Bhd. (PayNet) telah melancarkan projek rintis Cashless@ PEDI di 28 pusat ekonomi digital di seluruh negara.

“Dalam program ini, SKMM dan PayNet akan mengadakan pameran dan aktiviti di PEDI di mana masyarakat setempat akan mengambil bahagian serta mendapatkan maklumat mengenai kelebihan pembayaran digital.” ujar beliau.

Di samping rebat tunai dan diskaun, 88 pelanggan bertuah yang berbelanja sebanyak RM188 dan ke atas dalam satu resit berpeluang memenangi baucar tunai MYDIN bernilai RM80 dengan peraduan “Meriah, Belanja, Menang & Huat”. Tambahan lagi, bagi menghargai pelanggan setia MYDIN, pelanggan yang mendaftar atau memperbaharui kad keahlian Meriah juga berpeluang mendapat sekotak limau mandarin secara percuma yang bernilai RM15.89 sekotak.

“Kami juga telah menggerakkan bantuan melalui inisiatif MYDIN Prihatin bagi menyantuni masyarakat Cina yang telah dikenal pasti melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapatkan barangan keperluan bagi persiapan perayaan tidak lama lagi,” kata Ameer.

MYDIN melalui inisiatif MYDIN Prihatin menyumbang barangan dapur kepada 120 keluarga berbangsa Cina bagi menyediakan kelengkapan sambutan perayaan keluarga mereka.

Kempen ONGnya MYDIN berlangsung sehingga 5 Februari 2023 di seluruh cawangan MYDIN.

CATEGORIES
TAGS
Share This