MyHackathon 2020 bantu pembangunan modal insan menuju IR4.0

MyHackathon 2020 bantu pembangunan modal insan menuju IR4.0

KUALA LUMPUR,. MYHackathon 2020, sebuah program mencari penyelesaian permasalahan perkhidmatan dalam talian kerajaan atau swasta, amat penting dalam pembangunan modal insan negara menuju Revolusi Industri (IR) 4.0, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata melalui program itu, pihaknya membuka ruang seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja untuk bersaing mencari penyelesaian jitu dalam menambah baik pengalaman pelanggan yang perlu berinteraksi dengan kementerian, jabatan atau agensi kerajaan pada era baharu susulan COVID-19.

“Program ini berupaya menggalakkan perkembangan idea dan meningkatkan kreativiti peserta; melatih kemahiran pengurusan masa dan bekerja di bawah tekanan; memupuk interaksi sosial pelajar dengan komuniti atau pengguna; meningkatkan kemahiran komunikasi dan membina reputasi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama menerusi siaran video pada majlis penyampaian hadiah MYHackathon-Digitalising Government Services pusingan Kuala Lumpur bertemakan Prihatin Rakyat yang disiarkan menerusi Facebook Cradle Fund Sdn Bhd hari ini.

MYHackathon 2020 merupakan acara hackathon nasional yang merupakan satu inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan terbahagi kepada dua iaitu kategori Sprint dan Marathon.

Di bawah kategori Sprint, pemenang pertama ialah Amy Lo Lai Voon dengan projek iBoleh; tempat kedua Muhammad Abdul Haiy Halid menerusi projek My ID Payment; dan tempat ketiga Muhammad Shuhaily Mohd Jasmany dengan projek Malaysia 1 Identification (My1_iD).

Kesemua pemenang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000; RM7,500 dan RM5,000.

Sementara itu, tiga pemenang di bawah kategori marathon yang berjaya menerima geran bersyarat sehingga RM250,000 untuk menjalankan projek penyelesaian rintis mereka untuk 12 bulan seterusnya adalah Gokula Krishnan Subramaniam dengan projek Vircle Trusted Aid; diikuti Beh Huey Ching melalui projek Malaysia National Digital Identity (MyID); dan Rashidee Mohd Rashid dengan projek MyOKU – Sistem Maklumat dan Pengurusan OKU.

Program MYHackathon 2020 dianjurkan Cradle Fund Sdn Bhd, iaitu penggerak syarikat permulaan peringkat awal di Malaysia dan syarikat berkaitan kerajaan di bawah MOSTI, dan disokong Pusat Kreativiti dan Inovasi Malaysia (MaGIC), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan UniMAKER serta pihak Unifi di bawah Telekom Malaysia.

Pusingan MYHackathon 2020 seterusnya akan diadakan di Kuala Terengganu, Johor Bahru, Kuching, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu sebelum kemuncaknya di peringkat akhir Battle of the Best yang akan diadakan di Cyberjaya pada bulan depan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This