mySalam: Perkongsian kalangan penerima pengaruhi orang ramai mendaftar

mySalam: Perkongsian kalangan penerima pengaruhi orang ramai mendaftar

IPOH,. Kempen berterusan oleh kerajaan dalam menguar-uarkan mengenai kewujudan Skim Perlindungan Masyarakat, mySalam berjaya membuka mata orang ramai tentang kemudahan itu.

Namun, cerita yang datang dari mulut ke mulut lebih-lebih lagi oleh penerima manfaat mySalam juga tidak kurang hebatnya, malah boleh mempengaruhi orang ramai untuk mendaftar.

Berkongsi mengenai perkara itu, Zawiyah Tomin,53, berkata beliau mengetahui tentang mySalam semasa menjalani rawatan susulan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini selepas kaki kirinya dipotong sehingga aras lutut tahun lalu akibat kencing manis.

Selain itu, kaki kanan ibu kepada empat orang anak itu turut dipotong tahun ini sehingga aras buku lali juga disebabkan penyakit sama.

“Semasa buat rawatan susulan ini sempatlah bersembang dengan beberapa pesakit yang pernah menerima manfaat mySalam.

“Mereka beritahu layak tuntut bantuan tunai sekali bayar RM8,000 kemudian dapat duit RM50 sehari kalau masuk hospital, makcik rasa sangat baik dan terus mohon,” katanya ketika ditemui Bernama di HRPB di sini, baru-baru ini.

Menurut Zawiyah dia berulang-alik dari Air Kuning, Kampar ke HRPB dengan jarak kira-kira 60 kilometer sehala bersama anak perempuannya Wan Nor Zarith Ashikin Anuar, 21, dan jika layak menerima mySalam ia sedikit sebanyak pasti dapat menampung kos pengangkutan semasa temujanji rawatan.

Bagi seorang pekerja swasta Lee Hoei Min, 28, dia mengetahui mengenai mySalam menerusi perkongsian ramai di media sosial dan tidak melepaskan peluang itu untuk mendaftarkan ayahnya yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan.

Beliau berkata ayahnya yang hanya ingin dikenali sebagai Yeap, 51, disahkan mempunyai penyakit berkaitan hati tahun lepas selain masalah buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis.

“Saya harap ayah layak. Saya telah cuba memohon secara dalam talian tapi mengambil inisiatif untuk datang ke HRPB bagi mendapatkan lebih maklumat,” katanya yang tinggal di Silibin, di sini.

Sementara itu, seorang jururawat, P. Theveki, 42, mengambil inisiatif sendiri memahami secara terperinci mengenai mySalam agar beliau boleh berkongsi dengan para pesakit yang dirawatnya di unit Neurosurgical, HRPB.

“Saya berkongsi dengan ibu bapa atau penjaga pesakit kerana kebanyakkan pesakit yang terlantar contohnya jika berkaitan pernafasan perlu membeli alat bantuan berharga RM220 dan perlu ditukar setiap enam bulan.

“Selain itu, jika dirawat dirumah, penjaga perlu menyediakan mesin sedut kahak berharga RM500 selain susu dan lampin pakai buang,” katanya yang telah berkhidmat sebagai jururawat selama 20 tahun dan di unit berkenaan sejak 2016.

Petugas kiosk mySalam di HRPB, Noratikah Md Samari, 28, pula berkata sekitar 100 orang sehari datang memohon skim berkenaan dengan kebanyakannya berumur 30 tahun ke atas.

“Fungsi kami berada di sini dari Isnin hingga Jumaat mulai pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang adalah untuk memberi penerangan mengenai mySalam dan juga membantu pemohon membuat log masuk kali pertama,” katanya.

Pada 11 Feb lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan skim mySalam lanjutan yang berkuat kuasa sejak 1 Jan lepas meliputi sembilan lagi penyakit kritikal termasuk polio, menjadikan jumlah penyakit yang diliputi kini adalah 45.

Skim lanjutan itu turut melibatkan peningkatan had umur kepada 65 daripada 55 sebelum ini, penerima BSH yang bujang dan orang kurang upaya, dan kini termasuk kumpulan M40 dengan pendapatan kasar tahunan RM100,000 dan ke bawah.

— BERNAMA

Oleh Nadia Jumri

CATEGORIES
TAGS
Share This