Nadma siap siaga hadapi situasi jika IPU lebih 500

KUALA LUMPUR,. Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sudah bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan jika kadar bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Malaysia terus meningkat melebihi 500.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohtar Abd Rahman berkata jika keadaaan itu berlaku, tindakan akan diambil mengikut garis panduan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan termasuk mengisytiharkan darurat bencana jerebu di kawasan yang terjejas.

“Apabila situasi berada di tahap berkenaan, kita di Nadma akan mengambil tindakan segera dengan membawa perkara ini kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) menerusi Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pusat.

“Ia membolehkan kerajaan membuat perisytiharan darurat di kawasan terlibat dan apabila ia dilakukan Jawatankuasa Bencana Pusat, negeri, dan daerah perlulah mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan di bawah Pelan Tindakan Kebangsaan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pusat Kawalan Nadma di sini hari ini.

Sehingga 4 petang tadi, 12 lokasi di Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, negeri Sembilan dan Sarawak mencatat kualiti udara sangat tidak sihat dengan bacaan IPU melebihi 200.

Mohtar berkata antara tindakan yang akan dilakukan termasuk mengeluarkan nasihat penutupan pejabat atau premis kerajaan mahupun swasta dan lain-lain tempat bekerja termasuk kilang, ladang, kawasan binaan, kuari serta kerja-kerja tanah serta pemindahan tanah

Bagaimanapun, nasihat penutupan ini dikecualikan untuk sektor-sektor perkhidmatan yang penting seperti yang dinyatakan dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Perhubungan Perusahaan perkhidmatan bekalan air dan elektrik, perkhidmatan kesihatan awam, bomba, penjara, serta perkhidmatan penyiaran dan televisyen.

Pada masa sama, Mohtar berkata arahan penutupan semua sekolah, taman didikan dan pusat jagaan kanak-kanak akan dilaksanakan untuk mengelakkan mereka yang berada di kawasan terjejas, terdedah dengan udara tidak sihat, sekali gus mengundang risiko terhadap kesihatan.

“Dalam tempoh itu juga, operasi pembenihan awan akan dilakukan bergantung kepada kehadiran awan dan cuaca yang sesuai untuk memastikan kejayaan operasi bagi menghasilkan hujan untuk mengurangkan masalah jerebu.

“Selain itu, Jabatan Alam Sekitar akan membuat pemakluman tentang kadar amaran IPU dari semasa ke semasa menerusi siaran media kepada portal, media sosial dan media massa untuk hebahan kepada orang awam,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan pernah mengisytiharkan darurat bencana jerebu sebanyak tiga kali di Kuching, Sarawak pada 19 Sept 1997 apabila bacaan IPU 650; di Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang, Selangor pada 1 Ogos 2005 apabila IPU mencecah 531, serta di daerah Muar dan Ledang, Johor apabila bacaan IPU melebihi 500 pada 23 Jun 2013.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )