NAFAS agih RM5.31 juta zakat babit 26,550 penerima

NAFAS agih RM5.31 juta zakat babit 26,550 penerima

TUMPAT,. Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengagihkan sebanyak RM5.31 juta zakat secara wakalah kepada 26,550 asnaf di seluruh negara pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI), Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata zakat itu diagihkan menerusi pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) serta beliau sendiri.

“Bantuan ini bukan sahaja memberi fokus kepada ahli NAFAS, tetapi turut terbuka kepada asnaf memerlukan selain bertujuan meringankan beban mereka sepanjang mengharungi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan mengagihkan bantuan kepada 10 keluarga asnaf di Kampung Kok Pasir serta merasmikan program NAFAS Prihatin, di sini semalam.

Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata selain peruntukan zakat, pihaknya turut memperuntukkan RM580,000 untuk bantuan pakaian dan peralatan persekolahan kepada anak ahli NAFAS di seluruh negara.

Selain itu, sebanyak 290,000 bakul bantuan makanan diberikan bagi meringankan beban ahli keluarga asnaf, katanya.

Mengenai Program NAFAS Prihatin, beliau berkata sebanyak RM490,000 diperuntukkan untuk membaik pulih rumah di seluruh negara bagi memberi keselesaan kepada keluarga yang memerlukan.

Sementara itu, Che Abdullah berkata sebanyak RM1.395 juta disalurkan oleh pihaknya bagi membantu ahli NAFAS yang terjejas oleh COVID-19 dan daripada jumlah itu, sebanyak RM170,000 diberikan kepada 34 penerima dengan purata bantuan RM5,000 seorang.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )