Nafuzi bangga komitmen pemain bawa TFC ke suku akhir Piala Malaysia
KUALA NERUS,. Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain memberi sepenuh pujian kepada pemain atas kejayaan skuad Penyu mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia untuk berdepan Perak.
Nafuzi berkata beliau berbangga dengan semangat juang serta disiplin tinggi yang ditunjukkan anak buahnya hingga berjaya menundukkan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) yang diakui sebagai lawan sukar kerana memiliki barisan pemain pantas dan berkelebihan daripada segi fizikal.
“Alhamdulillah pemain saya benar-benar fokus, disiplin serta betul-betul gunakan peluang yang ada dan saya bangga dengan mereka.
“Selepas tiga minggu berehat (dari perlawanan terakhir Liga Super), untuk kami kembali bermain dan mendapatkan kembali momentum sebenarnya agak sukar,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.
TFC menjadi satu-satunya pasukan dari Pantai Timur yang berjaya melangkah ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan PJ City FC 1-0 menerusi jaringan pemain import Sanjar Shaakhmedov pada minit ke-36. –
Sementara itu, pengendali skuad The Phoenix, K. Devan mengakui kecewa kerana gagal ke suku akhir selepas melakukan persiapan rapi sebelum bertandang ke Terengganu.
Katanya, keadaan padang basah menyebabkan pemain tidak dapat mempamer corak permainan pantas seperti dirancang sekali gus dimanfaatkan oleh pihak lawan.
“Kami juga lakukakan kesilapan mudah menyebabkan TFC jaringkan gol walapun kalau kita tengok sepanjang tempoh 90 minit, mereka tidak hasilkan banyak peluang untuk jaringkan gol.
“Tetapi itulah, padang basah sedikit sebanyak mengganggu corak permainan pantas yang biasa ditunjukkan pemain dan tahniah buat Terengganu,” katanya.
— BERNAMA