Nafuzi kekal bersama TFC – PBSNT

KUALA NERUS,. Penyokong pasukan Terengganu FC (TFC) mendapat khabar gembira apabila ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain kekal menerajui skuad Penyu musim depan.

Perkembangan itu dimaklumkan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abd Karim yang nyata berpuas hati dengan prestasi pengendali muda kelahiran Kelantan yang berjaya membawa TFC ke pentas Piala AFC 2021.

“Saya boleh jamin Nafuzi bersama TFC (musim depan)… Kami agak gagal pada 2019, tahun 2020 kami sudah berjaya mencapai sasaran dan sudah berada di landasan yang betul sebenarnya,” katanya di sini.

Di bawah bimbingan Nafuzi, TFC menamatkan Liga Super 2020 di tangga ketiga dan secara automatik meraih slot ke Piala AFC 2021 selepas saingan Piala Malaysia yang memasuki peringkat suku akhir dibatalkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Selain itu, Hishamuddin turut memberi bayangan akan berlaku rombakan besar-besaran dalam kalangan pemain musim depan termasuk tonggak import bertujuan memantapkan pasukan selain sebagai persediaan ke Piala AFC 2021.

Bagaimanapun menurut beliau, TFC tidak menyasarkan nama-nama besar mahupun pemain bintang dalam skuad baharu itu nanti berikutan langkah penjimatan perbelanjaan.

“Insya-Allah sebahagian pemain yang bakal menyertai semula TFC pernah berada dalam saingan Liga Malaysia dan sebahagian adalah muka baharu.

“Kami juga tak meletakkan nama besar sebagai kaedah untuk mencapai sasaran, tetapi mahu pemain berkhidmat untuk bola sepak…jadi saya rasa itu kunci besar,” katanya yang mahu peminat bola sepak Terengganu terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada TFC.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )