Nama Azizulhasni terpahat lagi dalam Malaysia Book of Records

Nama Azizulhasni terpahat lagi dalam Malaysia Book of Records

KUALA LUMPUR,. Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang hari ini dianugerahkan dengan satu catatan rekod di dalam Malaysia Book of Records (MBR) selaku rakyat Malaysia pertama memenangi pingat perak dalam acara berbasikal trek di Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada 8 Ogos lepas.

Penghargaan yang diterima hari ini merupakan ketiga dalam kerjaya beliau selepas direkodkan sebagai rakyat Malaysia pertama memenangi gangsa dalam Sukan Olimpik di Olimpik Rio 2016 dan warga Malaysia pertama memenangi emas di dalam acara berbasikal trek Kejohanan Dunia 2017.

Pada penyampaian sijil MBR yang berlangsung secara maya dalam halaman Facebook MBR hari ini, Mohd Azizulhasni yang juga dikenali sebagai “The Pocket Rocketman” berkata beliau berharap kejayaan cemerlang dikecapinya menjadi inspirasi buat atlet lain untuk mencapai kejayaan yang sama.

“Saya sungguh gembira dengan penghormatan ini dan ini bermakna saya perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan satu lagi pingat dalam tiga tahun seterusnya, dalam (Olimpik) Paris 2024,” kata atlet berusia 33 tahun dari Dungun, Terengganu itu.

Anugerah itu disampaikan Ketua Pegawai Operasi MBR Christopher Wong dalam siaran langsung itu dengan menunjukkan satu sijil penghargaan sebagai simbolik penyampaian anugerah berkenaan.

“Saya memohon maaf kerana perlu memaklumkan jika anda mahukan satu lagi rekod daripada MBR anda perlu mendapatkan emas itu,” kata Wong.

Sementara itu, Pengasas MBR Tan Sri Danny Ooi berkata Mohd Azizulhasni berhak ke atas penghargaan itu berdasarkan pencapaian cemerlangnya.

“Saya ucapkan tahniah atas dua perkara, satu ialah gelaran ‘Datuk’ yang diterima dan lagi satu kerana memenangi pingat perak di Tokyo, itulah sinar yang anda bawa kepada rakyat Malaysia pada hari itu,” katanya.

Terdahulu dalam sesi langsung itu, Mohd Azizulhasni juga berkongsi kisah perjalanan hidupnya dan cerita di sebalik basikal yang digunakan semasa beraksi di Tokyo.

Mohd Azizulhasni memperoleh perak dalam final acara keirin yang berlangsung di Izu Velodrom, Shizuoka, Ahad lepas dan muncul sebagai atlet berbasikal trek negara paling berjaya – memenangi sebutir perak dan satu gangsa dalam empat kemunculan berturut-turut di Olimpik sejak edisi Beijing 2008.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )