Nanas Keningau Diamond sumber bibit untuk petani Sabah

KENINGAU,. Nanas Keningau Diamond (AC12) akan dijadikan sumber bibit untuk diagihkan kepada petani yang mengusahakan tanaman itu di negeri ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong.

Beliau berkata kementeriannya memilih untuk mendapatkan bibit Nanas Keningau Diamond yang ditanam di Ladang Datuk Yap Yun Fook di sini berikutan mampu memberikan hasil RM5,000 bagi sehektar.

“Penanaman nanas untuk menjana pendapatan petani merupakan antara pelan utama dilaksanakan oleh kementerian dan juga akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya kepada pemberita selepas melawat tanaman Nanas Keningau Diamond di Ladang Datuk Yap Yun Fook di Kampung Ansip dekat sini, hari ini.

Katanya pihaknya akan mengagihkan bibit nanas itu kepada 120 petani di negeri ini sebagai projek perintis.

Yap yang merupakan penasihat pertanian kerajaan negeri berkata Nanas Keningau Diamond yang ditanam di ladangnya mendapat permintaan tinggi dalam pasaran tempatan.

“Industri ini sangat menguntungkan dan saya mahu berkongsi dengan memperkenalkan tanaman ini (Nanas Keningau Diamond) kepada penduduk luar bandar sebagai satu kekayaan baharu,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )