Nasharudin masih ahli PAS – Mohd Amar

KOTA BHARU,. Bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa yang menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah, masih lagi ahli PAS, kata Naib Presiden parti itu Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Amar berkata PAS mengambil pendirian tidak akan menggugurkan keahlian Nasharudin sebagai ahli parti itu selagi tiada keputusan mahkamah.

“Dalam kes Nasharudin, beliau baru dituduh dan tidak tahu lagi sama ada beliau bersalah atau tidak. PAS tetap menganggap Nasharudin belum bersalah sehingga dibuktikan oleh mahkamah.

“Ia sama dengan kes Lim Guan Eng, (Datuk Seri) Najib atau pemimpin UMNO lain. Namun, sekiranya Nasharudin didapati bersalah kita serahkan kepada parti sama ada memecat atau mengekalkan keahliannya,” kata Mohd Amar kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Nasharudin sebelum ini didakwa terhadap tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan 30 pertuduhan pecah amanah jenayah dengan jumlah keseluruhan RM3,979,739.40.

Bagaimanapun semalam beliau mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )