Nazim catat kemenangan pertamanya dalam EuroFormula Open di Austria

Nazim catat kemenangan pertamanya dalam EuroFormula Open di Austria

KUALA LUMPUR,. Pelumba Malaysia Nazim Azman memenangi perlumbaan pertamanya dalam EuroFormula Open yang berlangsung di litar Red Bull Ring, Austria pada Ahad.

Dalam dua perlumbaan yang berlangsung, Nazim yang mewakili Pasukan CryptoTower Racing menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam dalam perlumbaan pertama yang berlangsung pada tengah hari dan kemudian memenangi perlumbaan kedua pada sebelah petang selepas mencatatkan masa 34 minit 0.256 saat (s).

Ketinggalan 0.732 saat di belakang Nazim di tempat kedua, Cem Bolukbasi pelumba Turki daripada pasukan Van Amersfoort Racing sementara rakan sepasukannya Louis Foster dari Great Britan di tempat ketiga dengan catatan masa 34:2.250s.

“Sememangnya, ia satu permulaan yang baik. Ia amat mencabar dan Cem sememangnya amat pantas dan saya berfikir perkara utama ialah tidak melakukan sebarang kesilapan dan ia berbaloi. Foster juga menghadapi persaingan sengit daripada Cameron (Cameron Das daripada pasukan Motopark). Jadi tinggal hanya saya dan Cem berdua (untuk tempat pertama). Secara keseluruhannya saya gembira dengan keputusan ini,” kata Nazim dalam satu kenyataan.

Selepas 17 perlumbaan, Nazim kini berada di tangga keempat dengan 208 mata sementara Foster mendahului dengan 257 mata diikuti Das dengan 255 mata, Jack Crawford 218 mata di tangga ketiga.

Sementara perlumbaan ketiga di Red Bull Ring dijadualkan berlangsung Ahad malam.

Baki dua lagi pusingan akan diadakan di litar Monza, Itali dan Barcelona, Sepanyol.

Sementara itu, kejayaan Nazim mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di laman Twitter rasminya.

“Nazim Azman daripada Team Crypto Tower merebut kemenangan siri pertamanya di perlumbaan EuroFormula di Red Bull Ring, Austria. Tahniah!! #malaysiaberbangga,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )