Nazir Ariff dilantik sebagai Pengerusi SME Bank

KUALA LUMPUR,. SMALL Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank), sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan, telah mengumumkan perlantikan Datuk Seri Nazir Ariff sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif bank berkenaan berkuatkuasa 18 Oktober lalu.

Nazir, 73, merupakan seorang ahli korporat berjaya yang mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai bidang, antaranya perbankan, hartanah, perlombongan, komoditi dan lain-lain.

Beliau merupakan lulusan perakaunan dari United Kingdom selain dilantik sebagai Fellow of British Institute of Management.

Sebagai seorang tokoh perniagaan, Nazir merupakan pengasas bersama Aspen (Group) Holdings Limited dan memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif.
Nazir juga pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi / Pengarah Eksekutif di Ivory Properties Group Berhad dari tahun 2006 hingga 2013.

Tokoh korporat ini memulakan kerjaya beliau dengan menyandang beberapa jawatan penting di Escoy Holdings Berhad (dahulu dikenali sebagai Datuk Keramat Holdings Berhad) sehingga tamat tempoh perkhidmatan sebagai Pengarah Urusan di syarikat tersebut pada tahun 2006.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (Cawangan Utara) dari tahun 1995 hingga 2018.

Pada ketika ini, Nazir merupakan Pengarah Bebas di Texchem Resources Berhad dan PBA Holdings Berhad serta menjadi Pengarah di Thailand Smelting & Refining Co. Limited dan Escoy Holding Berhad.

Nazir juga aktif dalam bidang sukan dan pernah menyandang jawatan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak, Pulau Pinang dari tahun 2013 hingga 2017.

Beliau juga aktif dalam kerja-kerja kebajikan di Pulau Pinang dan memegang jawatan penting dalam beberapa badan bukan kerajaan seperti Children Protection Society dan Penang Future Foundation.

Menurut Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail, pelantikan Nazir sebagai Pengerusi bank berkenaan dilakukan tepat pada masanya.

Ini kerana, kata beliau, pengalaman luas Nazir dalam bidang korporat dan perniagaan dapat membantu meneraju SME Bank ke arah transformasi pembangunan yang mampan dan berkesan.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )