
Neymar bantu PSG membenamkan Saint-Etiene 1-0
PARIS,. Neymar menjaringkan gol kemenangan apabila Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan Saint-Etienne yang bermain dengan 10 orang 1-0 dalam perlawanan akhir Piala Perancis kelmarin, iaitu perlawanan kompetitif pertama di negara itu sejak 11 Mac lalu ekoran pandemik koronavirus.
Bagaimanapun jurulatih Thomas Tuchel berdepan dengan penantian yang meresahkan berhubung kecergasan Kylian Mbappe menjelang perlawanan suku akhir menentang Atalanta dalam Liga Juara-Juara pada bulan depan selepas bintang Perancis meninggalkan padang dengan kaki tempang dan tangisan pada separuh masa pertama kerana kecederaan buku lali.
Pemenang Piala Dunia itu kemudian kelihatan keluar dari terowong dengan menggunakan tongkat ketiak ekoran asakan buruk yang menyebabkan pembuangan kapten Saint-Etienne, Loic Perrin.
“Semua orang bimbang. Semua orang yang menyaksikan kekasaran itu bimbang. Sudh tentulah saya bimbang,” kata Tuchel.
“Saya sangat gembira kerana kami menang tetapi kami perlu sentiasa bersabar kerana kami tidak ada sebarang berita. Saya fikir dia akan menjalani ujian pada malam ini.”
PSG memenangi piala pertama daripada tiga piala yang berpotensi pada musim panas ini, selepas memperolehi Piala Perancis ke-13 yang melanjutkan rekod manakala perlawanan akhir Piala Liga menentang Lyon akan berlangsung pada Jumaat depan sebelum kempen mereka di Eropah bersambung di Portugal.
“Ia sangat susah, sesuatu yang mungkin perkara terbaik,” tambah Tuchel, yang menyaksikan pasukannya menambah kejuaraan Ligue 1 mereka yang diberikan pada April lalu selepas musim liga tersebut ditamatkan awal.
Perlawanan akhir di Stade de France merupakan perlawanan rasmi pertama di salah sebuah negara bola sepak utama di Eropah yang membenarkan penyokong untuk menonton perlawanan sejak Mac lalu, tetapi pada jumlah yang amat terhad dengan hanya 2,805 orang penonton sahaja – termasuk Presiden Perancis Emmanuel Macron – di dalam stadium yang mempunyai 80,000 tempat duduk.
Tepukan selama seminit diadakan sebelum sepak mula untuk mangsa COVID-19, yang sudah meragut nyawa lebih 30,000 orang di Perancis, selain untuk menyokong pekerja barisan depan.
PSG menjaringkan 20 gol tanpa balas dalam tiga perlawanan persahabatan sebagai persiapan untuk perlawanan akhir, tetapi bentesan keras Yvann Macon ke atas Neymar pada minit pertama tidak membayangkan bahawa niat baik sedemikian akan diberikan oleh Saint-Etienne dalam panampilan pertama mereka pada peringkat akhir Piala Perancis sejak 1982.
Bentesan itu menentukan nada bagi tempoh pembukaan yang kasar dan Denis Bouanga nyaris meletakkan Saint-Etienne di depan apabila rembatannya melantun balik dari tiang kiri gol Keylor Navas.
PSG, yang tidak bimbang mengenai cubaan tersebut, mendahului pada minit ke-14 apabila Mbappe meluru ke dalam kawasan penalti selepas berbalas hantaran dengan Angel Di Maria dan Neymar merembat masuk bola yang melantun balik selepas ia terkena palang gol setelah cubaan diselamatkan dengan cantik oleh Jessy Moulin.
Bouanga dua kali memaksa Navas untuk menolak bola keluar manakala Moulin menghasilkan aksi yang sensasi dengan tepisan sebelah tangan ke atas dari Di Maria, seterusnya menerima pujian daripada pemain Argentina itu sendiri.
Walau bagaimanapun harapan Saint-Etienne untuk bangkit terhambat pada pertengahan babak pertama apabila pemain veteran Perrin, yang mungkin tampil buat kali terakhir untuk kelab itu, dibuang dari padang kerana melakukan asakan yang teruk ke atas Mbappe.
Dia memerlukan rawatan yang lama tetapi terpaksa dikeluarkan selepas buku lali kanannya terperangkap di antara kedua belah kaki Perrin, yang mula-mula dilayangkan kad kuning tetapi ditukar kepada kad merah oleh semakan VAR.
Emosi tidak dapat dikawal dan lima pemain dilayangkan kad kuning selepas satu pertelingkahan tetapi kebimbangan lebih besar bagi PSG adalah keseriusan kecederaan Mbappe.
Bintang Perancis itu muncul semula dari terowong dengan menggunakan tongkat ketiak pada separuh masa kedua, tidak sampai tiga minggu sebelum perlawanan PSG menentang Atalanta dalam Liga Juara-Juara pada 12 Ogos.
Moulin memastikan Saint-Etienne masih berpeluang tipis untuk menamatkan penantian selama 43 tahun bagi kejuaraan Piala Perancis ketujuh, dengan menangkis cubaan Mauro Icardi dan Di Maria sebelum dia bertindak cemerlang untuk menafikan Pablo Sarabia.
Penjaga gol itu malah meluru ke depan untuk satu tendangan sudut yang lewat tetapi PSG berdiri teguh untuk menebus kekalahan pada tahun lepas dalam perlawanan akhir kepada Rennes menerusi penentuan tendangan penalti, seterusnya merangkul piala buat kali kelima sejak enam musim lalu.
“Ia benar-benar sukar untuk diterima, terutamanya seperti itu. Kami ada peluang dan kami mensia-siakannya,” kata Moulin.
“Ada perkara yang membuat kita gembira tetapi kekalahan dalam perlawanan akhir sentiasa sukar untuk dihadam.” — AFP