
Neymar sah kekal di PSG
LONDON,. Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar mengesahkan dia akan kekal bersama kelab itu bagi saingan musim depan.
Penyerang antarabangsa Brazil itu tidak dapat menahan linangan air matanya selepas juara Ligue 1 itu tewas di tangan Bayern Munich pada aksi final Liga Juara-Juara di Lisbon, awal bulan ini.
Pemain berusia 28 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke kelab lamanya, Barcelona sejak sebelum penularan pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, Neymar menolak sebarang spekulasi yang dia akan meninggalkan PSG susulan kekecewaan dialami di pentas Eropah, sebaliknya bertekad mahu menjadi legenda dengan membantu kelab itu menjulang trofi Liga Juara-Juara.
“Saya akan kekal bersama PSG musim depan. Misi saya kembali beraksi di final Liga Juara-Juara tetapi kali ini untuk memenanginya.
“Saya suka dengan idea melakukan apa sahaja bagi meletakkan nama saya dalam sejarah kelab ini,” katanya.
Laporan media di Perancis turut melaporkan Neymar sedang berusaha bagi membawa masuk bekas rakan sepasukannya, Lionel Messi ke PSG.
Ini selepas Messi dilaporkan menyuarakan hasrat mahu meninggalkan kelab gergasi Sepanyol, Barcelona. – Agensi