Noraniza Idris, Yantzen, Mus antara peserta Gegar Vaganza musim baharu

Noraniza Idris, Yantzen, Mus antara peserta Gegar Vaganza musim baharu

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang sangat masyhur dengan lagu-lagu irama tradisional, Noraniza Idris, vokalis utama May, Mus serta mantan vokalis May dan Rusty Blade, Yantzen merupakan antara bintang yang bakal menyahut cabaran dalam program Gegar Vaganza (GV) musim ketujuh terbitan Astro.

Turut bersama-sama mengiringi tiga nama besar itu dalam pertandingan yang akan berlangsung dalam suasana norma baharu itu ialah Cliff Umar (Projek Pistol), Aju (Success), Oja dan Nomad.
Tidak ketinggalan ialah penyanyi Rozita Izlyn, Ayu Damit, Linda Nanuwil, Ashira dan Haslinda.

GV7 yang memperkenalkan tagline ‘Mara Suara Membara’ juga mempertaruhkan dua buah kumpulan yang pernah popular sekitar tahun 1990-an iaitu Indigo dan Eva. Program GV seperti yang umum sedia maklum menampilkan barisan penghibur berpengalaman yang pernah masyhur dan diberi kesempatan untuk kembali menjenamakan semula nama mereka di persada seni tanah air. Untuk musim baharu ini, GV7 akan mula bersiaran pada 11 Oktober ini.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal, matlamat Astro menerbitkan GV bukan sekadar membawakan sebuah program hiburan yang bersifat ‘feel good’ semata-mata.
Sebaliknya, peranan besar ‘GV’ kata beliau ialah selaku penghubung yang ‘menyatukan’ peminat dunia seni hiburan tanah air.

“Kejayaan GV jelas terbukti ekoran setiap kali musim baharu diterbitkan, program ini sentiasa menjadi sebutan penonton, bahan perdebatan netizen selain mengundang pelbagai ulasan daripada pengamal media, blogger serta pencinta seni tanah air.

“Ini sekali gus meletakkan ‘GV’ di antara program hiburan terbitan Astro yang paling ditunggu-tunggu saban tahun,” kata Emarina dalam sidang media pengumuman bintang baharu GV7 di sini pada Selasa.

Kata Emarina, untuk musim yang terbaharu ini, senarai 14 penyanyi yang akan beraksi di pentas ‘GV’ pada kali ini merupakan gabungan bintang-bintang daripada pelbagai latar belakang. Pemilihan mereka, jelas beliau, tidak bersandarkan kepada lagu-lagu popular mereka semata-mata, bahkan pengalaman dan reputasi juga turut menjadi antara kriteria utama yang ditimbang tara.

“Bukan itu sahaja, senarai tersebut juga harus memenuhi tuntutan penonton kerana tanpa sokongan mereka, fenomena ‘GV’ tidak mungkin berkembang sehebat sekarang,” kata beliau lagi.
GV kali ini juga masih mengekalkan Datuk Ramli MS sebagai juri tetap bersama-sama dengan penghibur terkenal, Datuk Khadijah Ibrahim.

Sementara seorang lagi juri jemputan profesional juga turut diundang khas secara bergilirgillir pada setiap minggu.
Bermula 11 Oktober ini, GV7 akan kembali menjadi igauan penonton-penonton setia program itu dengan dua personaliti terkenal, Nabil Ahmad dan Jihan Muse masih dikekalkan sebagai pengacara.

-Awani

CATEGORIES
Share This