Nostalgia makan bertalam di Rumah Atap Kuning
KUALA KANGSAR,. Mahu pelanggan menikmati suasana seperti pulang ke kampung halaman, seorang bekas setiausaha syarikat menjadikan kediamannya sebagai rumah makan yang menawarkan masakan kampung yang digelar Rumah Atap Kuning.
Lebih menarik, masakan kampung yang enak akan dihidangkan di dalam talam bagi membangkitkan nostalgia masa silam, sambil dikelilingi keindahan alam termasuk sawah, denai dengan ditemani keriuhan bunyi ayam dan itik, berlatar belakangkan suasana matahari terbenam.
Zaida Mohamed Abdul Aziz, 51, menganggap pelanggan yang datang ke rumah tradisional Perak itu ibarat tetamu yang datang dari jauh untuk menikmati hidangan hasil air tangannya.
“Terdapat dua pilihan hidangan iaitu Talam A dan Talam B dengan harga RM140 bagi satu kumpulan empat orang atau RM35 sekepala,” katanya ketika ditemui di Rumah Atap Kuning di sini baru-baru ini.
Antara menu yang dihidangkan ialah gulai lemak ikan patin bersama tempoyak, gulai ayam kicap, ayam rendang daun puding, gulai itik, rendang pucuk paku taik minyak, asam pedas telur itik, gulai lemak telur itik dengan belimbing buluh, puyuh salai, ikan pekasam, sambal gesek dan ulam-ulaman.
Tidak ketinggalan, kordial sirap serta pencuci mulut tapai ubi dan agar-agar merah yang semua sajian dihidangkan di dalam dulang klasik zaman dahulu termasuk pinggan dan cawan.
Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata selepas menjamu selera, tetamu boleh menghabiskan masa mengambil gambar di sekitar rumah dan memberi makan kepada itik dan ayam.
“Kita juga sediakan persalinan kain batik dan pelekat untuk mereka yang mahu berpakaian ala tradisional, malah ada tetamu yang siap-siap memakai pakaian tradisi Melayu dari rumah lagi,” katanya yang hanya membuka slot makan tengah hari dari 12 tengah hari hingga 3 petang pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Menceritakan idea untuk membuka Rumah Atap Kuning, Zaida yang turut mempunyai perniagaan makanan di Kuala Lumpur berkata tanah seluas hampir satu hektar di situ dibeli dan dibina rumah tradisional yang asalnya mahu dijadikan rumah kedua untuk berehat pada hujung minggu.
Namun, oleh sebab mahu memanfaatkan ruang dan kawasan di sekitar rumah tradisional itu, Zaida dan suami A. Wahab, 52, serta anaknya perempuannya, Aida Batrisya Zainal, 22, cuba menjadikannya sebagai premis privasi untuk tetamu menjamu selera.
Buat masa ini, perniagaan yang telah beroperasi lebih dua bulan itu menawarkan slot makan tengah hari sahaja dengan ruang di dalam rumah itu boleh memuatkan hingga 30 orang atau enam hingga tujuh kumpulan pada satu-satu masa termasuk makan di wakaf di luar rumah.
Disebabkan sambutan daripada pelanggan begitu menggalakkan, mereka yang ingin menikmati hidangan istimewa ditawarkan di Rumah Atap Kuning perlu membuat tempahan seminggu atau dua minggu lebih awal berserta deposit sebanyak 50 peratus.
“Memang ada pelanggan yang kecil hati bila datang secara walk in kerana mereka tidak tahu perlu tempah terlebih dahulu, ada juga yang perlu menunggu giliran kerana tempahan telah penuh,” katanya yang berasal dari Bagan Ajam, Pulau Pinang.
Bagi memberi lebih peluang kepada pelanggan, Zaida membuka ruang rumahnya untuk slot sunset hi-tea bermula 5 petang hingga 7 malam dengan dihidangkan kuih serabai bersama kuah durian serta kopi atau teh panas berharga RM10 sekepala.
Sementara itu, seorang guru, Siti Zawiyah Mohamad Basari, 40, sanggup memandu lebih 120 kilometer dari Kulim, Kedah semata-mata mahu merasai suasana makan di rumah zaman dahulu sambil menikmati keindahan kampung.
“Saya tahu mengenai Rumah Atap Kuning ini melalui Facebook dan telah dua kali datang membawa rakan-rakan sekerja dan hari ini saya ke sini bersama ibu dan suami, ternyata harga yang dibayar sangat berbaloi dengan layanan yang diberikan, saya pasti akan berkunjung lagi,” katanya.
— BERNAMA