NREB Sarawak anjur Program Kesedaran Alam Sekitar bersama Komuniti di Kapit

NREB Sarawak anjur Program Kesedaran Alam Sekitar bersama Komuniti di Kapit

KUCHING:Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak telah menganjurkan Program Kesedaran Alam Sekitar bersama komuniti di Kapit pada 5 dan 6 Julai lalu.

Menurut satu kenyataan hari ini, program tersebut merupakan anjuran bersama Jabatan Hutan Sarawak serta beberapa agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang dihadiri oleh seramai 150 penduduk rumah panjang.

Sejak 2001, NREB Sarawak telah menganjurkan program sedemikian yang bertujuan memberi pendedahan kepada ketua-ketua masyarakat, JKKK, komuniti rumah panjang dan orang awam tentang pentingnya pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar.

Kontroler Kualiti Alam Sekitar Sarawak Jack Liam berkata, NREB akan terus komited melaksanakan program-program berkaitan dengan alam sekitar secara berkala.

“Ia bukan sekadar langkah proaktif memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya pencemaran alam sekitar dan kesannya kepada kesihatan manusia.

“Tetapi juga sebagai seruan kepada semua pihak untuk bersama-sama menjaga kelestarian alam,” katanya semasa berucap pada Majlis Penutupan Program Kesedaran Alam Sekitar Bersama Komuniti Kapit.

Selain itu tambah Jack, ekosistem sungai memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan hidup komuniti sungai terutama sekali bagi mereka yang bergantung sepenuhnya kepada sungai untuk keperluan air minum, memperoleh sumber makanan dan protein, mencuci, berkebun, bertani dan sebagainya.

Ujarnya, sungai merupakan sumber alam yang sangat penting bagi kehidupan manusia, membekalkan air untuk keperluan domestik, pertanian, industri, pengairan dan tenaga hidroelektrik.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Wilson Nyabong Ijang menyeru agar ketua-ketua masyarakat dan masyarakat setempat di sekitar Sungai Sut memainkan peranan memantau dan menghentikan aktiviti pembuangan sampah yang boleh mencemarkan sungai dan alam sekitar.

Beliau juga menyeru kepada penduduk setempat untuk memberi maklumat kepada pihak NREB dan pihak berkuasa berkaitan sekiranya terdapat sebarang salah laku yang menyebabkan pencemaran alam sekitar.

Antara agensi yang menyampaikan ceramah dan pameran adalah Jabatan Hutan Sarawak, Majlis Daerah Kapit, Jabatan Pertanian Sarawak, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan Pejabat Kesihatan Negeri Sarawak Daerah Kapit.

Selain itu, turut diadakan aktiviti bergotong-royong dan pertandingan mewarna bagi kategori kanak-kanak yang telah diadakan pada hari pertama.

Turut hadir adalah Ketua Pejabat NREB Sibu Dau Utau, Ketua Polis Daerah Kapit DSP Rohana Nanu, Ketua Balai Bomba Penyelamat Daerah Kapit Timoty Barat, Ketua Bahagian Perhubungan Korporat NREB Christhe Mansom, Penolong Pemelihara Hutan Jabatan Hutan Sarawak Saga Kunchie, Penolong Pegawai Daerah Kapit Anyie Awing dan Tuai Rumah Juntan Engkang.

-TND

CATEGORIES
Share This