Nur Aiman raih gelaran Raja Bukit Jelajah Rwanda

Nur Aiman raih gelaran Raja Bukit Jelajah Rwanda

KUALA LUMPUR,. Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff mencipta kejutan apabila meraih jersi oren selaku Raja Bukit pada peringkat pertama perlumbaan Jelajah Rwanda 2021, pada Ahad.

Pelumba berusia 23 tahun itu mengungguli zon pendakian perlumbaan peringkat pertama bermula dari Kigali Arena, Kigali dan tamat di Rwamagana dengan jarak sejauh 115.6 kilometer (km).

“Saya sangat berpuas hati pada kayuhan hari pertama dan berharap berbaki lagi tujuh hari (jelajah) saya dapat kekalkan jersi ini,” kata anak jati Setiu, Terengganu itu selepas tamat perlumbaan.

Perlumbaan itu dimenangi pelumba Colombia Brayan Stiven Sanchez Vergara dari Team Medellin-EPM diikuti Alex Hoehn (Amerika Syarikat) dari pasukan Wildlife Generation Pro di tempat kedua manakala Weimar Alfonso Roldan Ortiz (Team Medellin-EPM) di tempat ketiga.

Raja Bukit PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 itu bagaimanapun menamatkan peringkat pertama perlumbaan di tempat ke-57.

Rakan sepasukannya Carlos Julian Quintero Norena dari Colombia mengakhiri perlumbaan di tempat ke-26, diikuti Metkel Eyob (Eritrea) di tempat ke-36 manakala Artem Ovechkin dari Rusia dan Goh Choon Huat dari Singapura masing-masing di kedudukan ke-50 dan ke-56.

Peringkat kedua perlumbaan yang berlangsung hari ini menyaksikan para pelumba perlu menempuh kayuhan sejauh 120.5 km dari Kigali ke Huye.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )