Op Ambang Merdeka: Tujuh ditahan, 448 saman trafik dikeluarkan
KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) — Enam penunggang motosikal dan seorang pemandu kereta ditahan manakala 448 saman berkaitan kesalahan trafik dikeluarkan sewaktu sambutan Op Ambang Merdeka di sekitar ibu negara sejak malam tadi hingga awal pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya berkata dalam operasi bermula 9.30 malam hingga pukul 4.30 pagi itu, saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, pengubahsuaian kenderaan melampau, tidak mempunyai cermin sisi serta tidak memiliki lesen memandu yang sah.
“Seorang remaja lelaki berumur 19 tahun ditahan di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu pada motosikal digunakan. Lima lelaki berumur 14 hingga 21 tahun ditahan di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara bahaya.
“Seorang pemandu kereta turut ditahan di bawah seksyen yang sama kerana didapati memandu dalam keadaan dipengaruhi alkohol,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi itu turut menahan empat kereta dan empat motosikal di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk dijalankan pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana didapati melakukan pengubahsuaian melampau terhadap kenderaan masing-masing.
Mengulas lanjut mengenai operasi itu, Zulkefly berkata ia dijalankan dalam dua fasa iaitu Fasa 1 sebelum menjelang ambang Merdeka iaitu pada 9.30 malam hingga 12 tengah malam manakala Fasa 2 selepas sambutan ambang Merdeka iaitu pada 1.30 pagi hingga 4.30 pagi.
“ Untuk Fasa 1, empat sekatan jalan raya dibuat di Jalan Kuching, Jalan Loke Yew, Jalan Bangsar dan Jalan Davies. Untuk Fasa 2, Operasi Samseng Jalanan dilaksanakan bagi membanteras kegiatan samseng jalanan yg dibuat di sekitar Dataran Merdeka dan Jalan Raja Laut. Dalam masa yang sama, Operasi Mabuk dilaksanakan di Jalan Kuchai Lama dan Jalan Klang Lama,” katanya.
— BERNAMA