Operasi ACD kluster Kampung Hilir bermula hari ini – Dr Annuar

Operasi ACD kluster Kampung Hilir bermula hari ini – Dr Annuar

SIBU,. Operasi Pengesanan Kes Secara Aktif (ACD) COVID-19 secara besar-besaran bagi kluster Kampung Hilir akan diadakan di kawasan tempat letak kereta Masjid An-Nur di sini bermula hari ini hingga Sabtu.

Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak Dr Annuar Rapaee berkata aktiviti tersebut dilakukan secara berperingkat melibatkan 11 penempatan di kawasan itu dan jadual telah diedarkan ke rumah-rumah yang berkenaan.

“Buat permulaan, ujian saringan akan memberi tumpuan kepada penduduk yang tinggal di Kampung Hilir mulai 9 pagi hingga 1 tengah hari mengikut nombor rumah.

“Penduduk diminta datang mengikut jadual yang telah ditetapkan bagi mengelak kesesakan dan berlakunya jangkitan,” katanya menerusi laman Facebooknya.

Beliau berkata pada Jumaat pula, ujian saringan bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari melibatkan Kampung Datuk Lama, Jalan Masjid, Kampung Pak Dris, Jalan Alu-Alu, Sungai Bakong dan Kampung Baharu.

Menurut Dr Annuar, Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu telah memberi kebenaran ujian saringan itu dilanjutkan sehingga Sabtu melibatkan penduduk di Lorong Nanas, Lorong Lang, Lorong Isau dan Lorong Bangau.

Katanya, penduduk di kampung-kampung terlibat diminta menjalani ujian tersebut, sementara waris kepada warga emas yang terlantar sakit pula boleh mengemukakan nama warga emas berkenaan kepada jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung untuk ujian berkenaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )