Operasi Bersepadu : 309 pendatang tanpa izin ditahan – Imigresen
DENGKIL, 21 Jun — Jabatan Imigresen menahan 309 pendatang tanpa izin daripada 715 yang diperiksa dalam operasi bersepadu di kawasan kediaman sebuah tapak pembinaan di sekitar Dengkil di sini, awal pagi tadi.
Pendatang tanpa izin yang ditahan terdiri daripada 280 lelaki dan 29 wanita melibatkan pecahan warganegara iaitu Indonesia (193), Bangladesh (102), lapan warga Myanmar, Vietnam (empat) dan dua warga India berusia lingkungan 20-an hingga 50-an.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang mendakwa tempat tinggal mereka dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan.
Ekoran itu, beliau berkata pihaknya telah menyerbu kawasan itu dan mendapati ia tidak mematuhi SOP PKP seperti yang ditetapkan.
“Saya tiba bersama pasukan operasi mendapati penempatan mereka begitu padat, kotor serta tidak mempunyai sistem saliran perparitan yang lengkap, selain mempunyai tempat untuk berkumpul dan makan secara beramai-ramai.
“Selain itu, hasil temu bual saya bersama mereka juga, pendatang itu mengaku tinggal dalam secara beramai-ramai dalam satu bilik iaitu sekitar empat hingga tujuh orang,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Khairul Dzaimee berkata ini menunjukkan mereka ini bebas melakukan apa sahaja di dalam kawasan penempatan tapak pembinaan tanpa sebarang pematuhan SOP PKP.
Beliau berkata ini adalah tujuan utama Kementerian Dalam Negeri yang mengarahkan Jabatan Imigresen untuk membantu mengurangkan kes-kes positif wabak COVID-19 di tempat kerja warga asing.
Mengulas mengenai bagaimana wanita warga Indonesia menyelinap masuk ke negara ini mengikuti pasangan mereka, Khairul Dzaimee menjelaskan bahawa suami mereka akan masuk terlebih dahulu bekerja di Malaysia kemudiannya diikuti oleh pasangan masing-masing.
“Wanita warga Indonesia memasuki Malaysia dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial dan terus menetap di negara ini melebihi masa yang ditetapkan. Selain itu, mereka ini akan tinggal bersama suami mereka yang bekerja secara haram di negara ini.
“Kesemua pendatang tanpa izin ini akan menjalani ujian saringan COVID-19 hari ini yang akan dilaksanakan oleh Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya dan PKD Seremban,” katanya.
Khairul Dzaimee berkata selepas ujian saringan dilaksanakan kesemua mereka akan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama sebelum proses proses pengusiran ke negara masing-masing dibuat.
Dalam operasi ini juga, Jabatan Imigresen turut memeriksa 10 warga Rohingya yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Daripada 10 pemegang kad UNCHR, hanya dua daripada mereka ditahan kerana memiliki kad UNCHR palsu manakala yang lain dibebaskan,” katanya.
Operasi bersepadu itu yang bermula pada 12.30 tengah malam dan berakhir 2.30 pagi tadi, disertai 189 anggota melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan antaranya Pasukan Gerakan Am, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Tenaga Kerja serta Angkatan Pertahanan Awam.
-Faisal Mohamed Asianewstoday