Operasi kesan kes COVID-19 secara aktif saring 330 isi rumah di Kota Samarahan

KOTA SAMARAHAN, 28 April — Sebanyak 330 isi rumah di Taman Desa Ilmu dan Taman Uni Garden di sini telah disaring pada hari kedua operasi pengesanan kes COVID-19 secara aktif hari ini.

Ketua Polis Daerah Samarahan DSP Lee Chong Chern memberitahu Bernama kerjasama yang baik diterima daripada penduduk di kedua-dua taman perumahan itu dengan tiada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan selepas dua hari operasi itu dilaksanakan.

“Operasi yang kita jalankan ini bukannya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Sebaliknya kita hanya meningkatkan kawalan bagi membantu Kementerian Kesihatan yang membuat saringan rumah ke rumah di dua lokasi ini,” katanya ketika dihubungi Bernama

Semalam, Persuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata kira-kira 15 laluan keluar dan masuk di dua lokasi itu ditutup bermula semalam hingga 30 April bagi membolehkan usaha pengesanan secara aktif individu kontak rapat COVID-19 dilakukan oleh Kementerian Kesihatan.

Berikutan itu, Polis Sarawak menempatkan seramai 202 orang pegawai dan anggotanya di kedua-dua lokasi berkenaan sepanjang tempoh itu untuk mengawal rapi setiap pergerakan penduduk.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )