OPR dijangka turun untuk kurangkan risiko kelembapan ekonomi – BNM,

OPR dijangka turun untuk kurangkan risiko kelembapan ekonomi – BNM,

KUALA LUMPUR,. Kadar dasar semalaman (OPR) dijangka turun lagi sebanyak 25 mata asas sebelum akhir tahun ini semakan semula dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) akan datang, kata beberapa ahli ekonomi.

Mereka berkata persekitaran makro ekonomi yang cepat berubah disebabkan oleh penularan COVID-19 akan mendorong BNM untuk terus bertindak secara proaktif.

Di peringkat antarabangsa, kebanyakan bank pusat menuju ke arah rejim kadar faedah yang lebih rendah untuk menyokong kestabilan ekonomi makro bagi ekonomi mereka.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan BNM akan menangguhkan pengurangan OPR dalam Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM esok kerana data ekonomi baru-baru ini seperti jualan kenderaan, eksport dan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) adalah baik.

Ia memberi petunjuk tiada keperluan mendesak akan dilakukan BNM berdasarkan kepada kadar penanda aras telah dikurangkan sebanyak 125 mata asas antara bulan Januari dan Julai tahun ini dan ia berada pada tahap terendah.

“Bank Negara telah bertindak proaktif dalam memberi sokongan kepada ekonomi menerusi dasar monetari yang berkembang.

“Justeru, ia mungkin sebab utama kenapa pasaran menjangkakan akan berlaku penurunan OPR sekali lagi di mesyuarat MPC pada November, 2020,” katanya kepada Bernama.

BNM telah mengurangkan OPR sebanyak empat kali tahun ini menjadikannya kepada1.75 peratus, paras terendah dicatatkan sejak 2004.

MPC akan bermesyuarat esok sebelum mengadakan mesyuarat terakhir pada 3 November depan.

Mengenai apakah pengurangan OPR sekali lagi boleh menjadi faktor untuk dipertimbangkan MPC bagi membantu majoriti para peminjam, Afzanizam yakin ia dapat membantu mereka (peminjam).

“Namun, kami yakin anggota MPC juga akan melihat perkara yang lebih luas seperti penyaluran dasar monetari kepada ekonomi dan bagaimana syarikat perniagaan dan isi rumah respons terhadap dasar tersebut.

“Ada juga faktor luaran seperti ekonomi global, harga komoditi dan risiko geopolitik yang akan memberi kesan secara langsung kepada bagaimana anggota MPC akan menilai ekonomi,” katanya.

Mengenai sama ada kadar faedah yang lebih rendah akan terus menarik aliran modal asing, Afzanizam percaya pelabur akan melakukan usaha wajar sebelum membuat keputusan untuk melabur.

“Bagaimanapun, Malaysia boleh memberikan hasil yang lebih baik berbanding Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Kesatuan Eropah dan Jepun.

“Sama ada BNM akan mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas esok, masih ada banyak ruang jika kita membandingkan kadar Malaysia dengan kadar Rizab Persekutuan AS yang ketika ini berada pada 0.25 peratus,” katanya.

Mengenai pertumbuhan ekonomi, Afzanizam berkata ia akan lebih baik separuh pertama berdasarkan jumlah industri yang positif untuk sektor automotif bagi Julai yang meningkat hingga lebih dari 57,000 unit yang didorong oleh pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Nasional (PENJANA).

“Oleh itu, rangsangan fiskal itu sangat efektif dalam merangsang ekonomi. Ia juga mungkin memberi kesan kepada keputusan BNM terhadap OPR, iaitu tidak mahu merangsangkan ekonomi secara berlebihan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed berkata BNM telah memainkan peranannya dengan bijak di pasaran.

“Setakat ini, BNM bertindak secara berhati-hati dalam menurunkan kadar kerana ia memberi ruang untuk mengurangkan OPR sekali lagi sekiranya perlu,” katanya.

Menurut Shan, BNM telah menggunakan langkah taktikal dengan mengawal inflasi harga dengan memperkukuhkan ringgit dan langkah monetari yang berhemah untuk memberi kesan kepada ekonomi.

Mengenai pertumbuhan, beliau menjangkakan ekonomi Malaysia akan stabil dan permintaan agregat akan menjadi terkawal menjelang Disember, 2020.

Shan berkata keadaan ekonomi bakal pulih pada akhir tahun dengan mod pertumbuhan positif.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This