Ops Catut PSP: KPDNHEP Sabah hantar notis pengesahan kepada 15 kilang

Ops Catut PSP: KPDNHEP Sabah hantar notis pengesahan kepada 15 kilang

KOTA KINABALU,. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, telah menghantar Notis Pengesahan Maklumat Barangan atau Perkhidmatan kepada 15 kilang dan pemborong di negeri ini, menerusi pelaksanaan Ops Catut 6.0 Program Subsidi Petrol (PSP).

Pengarahnya Georgie Abas berkata notis itu bagi mendapatkan maklumat barangan, seperti harga jualan dan kos belian, dan kilang serta pemborong terbabit diminta untuk memberi maklumat dalam tempoh lima hari bekerja.

Katanya operasi yang dilaksanakan sejak 1 Dis lepas di seluruh negara, akan berterusan sehingga 30 Jun tahun hadapan, bagi menangani aktiviti pencatutan dan manipulasi harga, dengan memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan secara tidak terkawal.

Katanya ia berikutan pelaksanaan PSP bermula 1 Jan tahun hadapan, yang dijangka memberi impak secara tidak langsung kepada harga barang.

“Biarpun PSP tidak melibatkan Sabah, pemantauan turut dilakukan bagi memastikan tiada berlaku pencatutan dan manipulasi harga barangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pemeriksaan Ops Catut 6.0 (PSP) di Gudang Harrisons Sdn Bhd, di Kelombong di sini, hari ini.

Katanya pemantauan dan penguatkuasaan dijalankan di semua peringkat perniagaan, merangkumi peringkat pengilang, pemasaran am, pengedar, pemborong dan peruncit.

“Enam kategori barangan ditumpukan iaitu barangan makanan dan minuman, barangan isi rumah, tekstil, perabot, kasut dan barangan elektrik,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This