Orang ramai dijemput ke Program Jiwa dan Kita MADANI di Mydin Petra Jaya
KUCHING,.Orang ramai dijemput menghadiri Program Jiwa dan Kita MADANI yang akan berlangsung di Mydin, Petra Jaya, di sini pada Sabtu ini.
Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) Sarawak dalam kenyataan semalam memaklumkan, pelbagai aktiviti menarik akan dijalankan sepanjang program itu yang bertujuan menyebarluaskan pengertian dan penghayatan konsep Malaysia MADANI kepada masyarakat.
“Selain pameran Malaysia MADANI oleh Japen Sarawak, turut diadakan khidmat nasihat daripada pelbagai agensi kerajaan,” menurut kenyataan itu.
Antara agensi kerajaan yang terlibat ialah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Negara (FINAS), Telekom Malaysia, Pusat Kesihatan Bahagian Kuching, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perkeso (My Future Jobs), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan MBSB Bank Berhad.
Kenyataan itu memaklumkan, turut diadakan permainan dan kuiz interaktif, persembahan hiburan bermaklumat oleh artis Pentarama, Pusat Maklumat Rakyat dan Publisiti Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil dijangka menghadiri program sehari itu.
— BERNAMA